Ronaldo dibuang padang buat kali pertama ketika beraksi bersama Portugal

Ronaldo menyerahkan lilitan kapten kepada Bernardo Silva (kiri) selepas dia dilayangkan kad merah. Foto: AFP
Ronaldo menyerahkan lilitan kapten kepada Bernardo Silva (kiri) selepas dia dilayangkan kad merah. Foto: AFP
A
A
A

CRISTIANO Ronaldo mencatat detik hitam dalam karier antarabangsa apabila menerima kad merah pertama bersama Portugal ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Republik Ireland di Dublin pada awal pagi Jumaat.

Insiden yang berlaku pada minit ke-61 itu menyaksikan kapten Portugal berusia 40 tahun tersebut dilayangkan kad merah kerana menyiku pertahanan Ireland, Dara O’Shea.

Pada mulanya Ronaldo hanya diberikan kad kuning, namun semakan VAR menyebabkan pengadil Glenn Nyberg menukar hukuman kepada kad merah atas tindakan ganas.

Kad merah itu menjadi yang ke-13 dalam keseluruhan karier profesionalnya dan menjadi yang pertama dalam sejarah Ronaldo ketika menyarung jersi Portugal.

Ketika kejadian, Portugal sudah pun ketinggalan 0-2 hasil dua jaringan penyerang Ireland, Troy Parrott pada babak pertama.

Suasana tegang memuncak sebelum Ronaldo terlibat dalam perebutan posisi di dalam kotak penalti bersama O’Shea, lalu insiden siku tersebut berlaku.

Ronaldo yang berjalan keluar padang diiringi sorakan negatif penyokong tuan rumah dilihat memberikan tepukan sinis selain bertukar kata-kata dengan jurulatih Ireland, Heimir Hallgrimsson.

Kekalahan itu sekali gus menggagalkan peluang Portugal mengesahkan tiket lebih awal ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Mereka kini perlu menunggu aksi terakhir kumpulan menentang Armenia, namun tanpa penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu.

Di bawah peraturan semasa, kad merah akan membawa kepada penggantungan satu perlawanan secara automatik. Namun, kerana Ronaldo dibuang padang atas tindakan kasar, beliau berisiko menerima hukuman lebih panjang.

Artikel Berkaitan:

Kes berkenaan kini menunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib bebas UEFA yang mempunyai kuasa mengenakan hukuman lebih berat sekiranya mendapati tindakan itu disengajakan atau membahayakan lawan. Lazimnya, tindakan ganas boleh membawa kepada penggantungan sehingga tiga perlawanan.

Jika Portugal mara ke Piala Dunia 2026, sebarang penggantungan yang belum selesai akan dibawa terus ke perlawanan pembukaan di kejohanan tersebut.

Ringkasan AI

  • CRISTIANO Ronaldo menerima kad merah pertama bersama Portugal dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Republik Ireland
  • Insiden terjadi kerana Ronaldo menyiku pertahanan Ireland, mengakibatkan tadinya kad kuning ditukar menjadi merah setelah semakan VAR
  • Ini merupakan kad merah ke-13 dalam karier profesional Ronaldo dan yang pertama saat bermain untuk Portugal
  • Portugal kalah 0-2 kepada Ireland, menggagalkan peluang mengesahkan tiket awal ke Piala Dunia 2026
  • Ronaldo berisiko menerima penggantungan lebih lama dari satu perlawanan kerana tindakan kasar, menunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib UEFA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!