Masters Kumamoto: Fei-Din 'mandi peluh' sebelum layak ke suku akhir

BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus menyalakan peluang untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan depan selepas mara ke suku akhir Masters Kumamoto di Jepun pada Khamis.
Pasangan nombor empat dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras apabila diheret sehingga ke set penentuan sebelum berjaya mengatasi pemain tuan rumah, Keiichiro Matsui-Katsuki 21-23, 21-13, 26-24 dalam perlawanan berlangsung selama 65 minit.
Menanti Sze Fei-Nur Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan di suku akhir ialah Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Taiwan.
Kemenangan itu hadir tepat pada waktunya buat Sze Fei-Izzuddin yang perlu muncul juara kejohanan minggu ini bagi merapatkan jurang mata ranking Jelajah Dunia BWF dengan beregu kebangsaan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Ketika ini, Sze Fei-Izzuddin berada di tangga ketujuh ranking Jelajah Dunia, manakala Wei Chong-Kai Wun di kedudukan ketiga.
Namun, hanya satu lagi slot layak ke kejohanan akhir musim itu yang masih terbuka buat wakil negara memandangkan setiap negara hanya dibenarkan maksimum dua wakil yang berada dalam kelompok lapan terbaik.
Masters Kumamoto dan Terbuka Australia di Sydney dari 18 hingga 23 November ini menjadi dua medan terakhir yang menawarkan mata kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir BWF buat kedua-dua pasangan berkenaan.
Pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah pun mengesahkan tempat ke kejohanan bernilai AS$3 juta (RM12.5 juta) keseluruhan itu selepas selesa menghuni tangga kedua ranking Jelajah Dunia.
Ringkasan AI
- Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke suku akhir Masters Kumamoto di Jepun
- Pasangan tersebut mengalahkan Keiichiro Matsui-Katsuki dengan skor 21-23, 21-13, 26-24
- Menanti di suku akhir adalah Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Taiwan
- Kemenangan penting untuk merapatkan jurang mata ranking Jelajah Dunia BWF dengan beregu kebangsaan lain
- Hanya satu lagi slot layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF yang terbuka untuk wakil negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

