Warden MRSM maut diseret lori

TAMPIN – Seorang warden Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Serting maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 0.2, Jalan Jelai Tambahan berhampiran Restoran Terapung di sini pada Rabu.
Ketika kejadian pada jam 7 malam itu mangsa, lelaki berusia 57 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis VOG yang ditunggang mangsa dan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun.

“Hasil siasatan mendapati, pemandu lori dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Jelai untuk menghantar simen, manakala mangsa dari tempat kerjanya di MRSM Serting menghala ke rumahnya di Bukit Gambir, Muar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang juga bekas tentera dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan,” katanya pada Khamis.
Menurut beliau, pemandu lori tersebut telah cuba mengelak ke kiri jalan, namun berlanggar dengan motosikal mangsa.
“Mangsa kemudian diseret bersama motosikalnya sebelum melanggar tiang elektrik di bahu jalan sebelah kiri.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Tampin atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Sritharan di talian 06-4412502 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Warden MRSM Serting maut dalam kemalangan motosikal di Tampin
- Mangsa berusia 57 tahun dan dalam perjalanan pulang dari kerja
- Kemalangan melibatkan motosikal dan lori yang sedang menghantar simen
- Mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori
- Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal di tempat kejadian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

