X

Kindly register in order to view this article
!

Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dijadikan hospital Covid-19

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menjadikan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang sebagai hospital untuk rawatan kes koronavirus (Covid-19) di negeri ini bermula semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, semua kes bukan kecemasan dinasihatkan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran.

"Perkhidmatan lain yang dikurangkan, ditangguhkan dan dipindahkan ialah rawatan harian untuk thalassaemia dipindahkan ke hospital berhampiran.

"Pembedahan elektif dan prosedur rawatan harian juga ditangguhkan di HEBHK. Jabatan Pesakit Luar dan Perkhidmatan Klinik Pakar HEBHK dipindahkan ke bekas Bangunan Pentadbiran Kolej Kejururawatan Kluang iaitu bersebelahan Hospital Kluang lama mulai 29 Mac 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, susulan itu operasi klinik selepas waktu pejabat ditangguhkan dan semua kemasukan pesakit baharu bukan Covid-19 dihentikan kecuali kes bersalin kecemasan.

Orang ramai katanya, dinasihatkan memberi kerjasama bagi memastikan pelaksanaan fungsi baharu HEBHK sebagai hospital Covid-19 berjalan lancar.

"Pelawat tidak dibenarkan melawat sepanjang tempoh pesakit Covid-19 dirawat di hospital berkenaan,: katanya.

Sementara itu, Vidyananthan meminta semua pihak bertenang dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan dan sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan wabak berkenaan.

"Rakyat perlu faham bahawa langkah itu tidak dibuat secara suka-suka sebaliknya dalam usaha meningkatkan kawalan penularan wabak Covid-19,: katanya.

Vidyananthan memberitahu, sehingga semalam Johor melaporkan penambahan 34 kes Covid-19 yang menjadikan jumlah terkini sebanyak 196 kes.

"Berlaku pertambahan sebanyak dua kematian pada 25 Mac yang menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak lima orang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!