KPDNHEP rampas topeng muka bernilai RM466,000

Topeng muka jenis tiga lapis yang dijual RM 3.50 seunit melebihi harga RM2 seunit yang ditetapkan kerajaan.
Topeng muka jenis tiga lapis yang dijual RM 3.50 seunit melebihi harga RM2 seunit yang ditetapkan kerajaan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 223,000 unit topeng muka tiga lapis bernilai RM446,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan penjualan topeng muka yang melebihi harga maksimum kawalan menerusi Facebook Face Mask Wholesale (Malaysia Only) dan Pseud John Elton.

Menurutnya, topeng muka berkenaan disorok untuk dijual secara tersembunyi kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM3.50 seunit melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM2 seunit.

Timbunan kotak mengandungi topeng muka yang dirampas oleh KPDNHEP semalam.
Timbunan kotak mengandungi topeng muka yang dirampas oleh KPDNHEP semalam.

“Suspek menggunakan laman sosial Facebook bagi mengiklan penjualan topeng muka. Kaedah penjualan adalah melalui pesanan aplikasi WhatsApp dan barang yang dibeli akan dihantar melalui pos atau melalui kaedah Cash On Delivery (COD) di kawasan Kota Damansara Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali yang kedua dan berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 62.

Artikel Berkaitan: