UFC 322: Islam sempat 'mengular' ke kedai pancing

ISLAM Makhachev bersiap sedia menulis bab baharu dalam karier gemilangnya apabila bakal berdepan Jack Della Maddalena (JDM) dalam pertarungan Kejuaraan Dunia UFC 322 di Madison Square Garden hujung minggu ini — pertarungan yang berpotensi menobatkannya sebagai juara dua divisyen.
Bekas juara lightweight itu kini melangkah ke kelas welterweight dengan misi mengukuhkan legasi sebagai antara petarung terbaik dalam sejarah UFC.
Namun, cabaran yang menanti bukan mudah apabila lawannya, JDM berada pada kemuncak prestasi dengan rekod sempurna 18 kemenangan berturut-turut, termasuk lapan di pentas UFC.
Menariknya, di sebalik jadual latihan padat menjelang aksi paling penting dalam kariernya, Islam memilih cara tersendiri untuk meredakan tekanan iaitu dengan melakukan aktiviti memancing.
Rutin santainya di New Jersey baru-baru ini mencuri perhatian apabila sebuah kedai pancing tempatan, Pells Bait and Tackle memuat naik gambar beliau membeli kelengkapan memancing.
Gambar berkenaan pantas tular dalam kalangan peminat seni bela diri campuran (MMA).
Dalam episod pertama UFC 322 Embedded, atlet kelahiran Dagestan itu menjelaskan detik sebenar di sebalik gambar tersebut sambil berkongsi minatnya terhadap aktiviti luar itu.
“Saya memang suka memancing, tapi saya tak banyak pengalaman memancing di Amerika dan minggu ini belum ada ikan yang berjaya saya tangkap.
“Di Rusia, saya selalu memancing... Di sana ikannya besar dan sedap,” katanya berseloroh.
Walaupun belum bernasib baik di sungai New Jersey, Islam tidak pernah gagal ‘menangkap emas’ di dalam Oktagon.
Rakan sekampung Khabib Nurmagomedov itu pernah menumbangkan nama besar seperti Charles Oliveira, Alexander Volkanovski, Dustin Poirier dan Renato Moicano, bukti kehebatannya sebagai antara petarung paling dominan dalam era moden UFC.
Namun, kali ini beliau bakal berdepan lawan paling berbahaya dalam kariernya.
JDM, juara kelahiran Australia sebelum ini menewaskan Belal Muhammad untuk merampas takhta welterweight pada Mei lalu dan kini bersedia mempertahankan gelarannya buat kali pertama.
Sama ada Islam berjaya mengukir sejarah atau JDM terus mengekalkan rekod tanpa kalahnya, UFC 322 pasti menjadi salah satu malam paling epik dalam sejarah sukan tempur moden.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

