[VIDEO] 'Tunjuk bukti, kita tak lindung pesalah' - Dr Akmal
MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa beliau tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbabit dalam salah laku sekiranya terdapat bukti kukuh.
“Bagi saya, kalau ada bukti, kemukakanlah. Jangan sekadar cakap kosong. Hari ini dunia tanpa sempadan, jadi kalau betul ada bukti, tunjukkan.
“Jangan pula sebab dah dekat pilihan raya, sibuk keluarkan macam-macam tuduhan. Kalau terbukti salah, salahlah.
“Kita tidak melindungi mana-mana orang yang salah, tapi jangan sampai buat fitnah untuk menjatuhkan orang,” katanya ketika mengulas hantaran blogger dan aktivis, Datuk Zaharin Mohd Yasin di Facebook yang mendakwa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Melaka terlibat dalam salah laku dengan isteri orang.

Beliau ditemui semasa Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka Tahun 2025 pada Selasa.
Dr Akmal menegaskan, fitnah dan tuduhan tanpa bukti bukan sahaja mencemarkan nama individu, malah boleh menjejaskan imej parti serta kerajaan negeri.
“Dulu pun pernah ada yang bercakap itu dan ini, akhirnya senyap begitu sahaja. Orang yang sebarkan pun orang yang sama juga. Jadi saya tak mahu ambil berat sangat tentang perkara ini.
“Kalau ada bukti, nyatakan. Kita tegas dalam hal ini. Contohnya, kes Exco Pemuda UMNO yang ada salah laku, saya rehatkan, biar dia selesaikan dengan cara baik,” ujarnya.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka berkata, prinsip Pemuda UMNO dan kerajaan negeri adalah jelas, iaitu tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbukti bersalah.
“Kalau perkara itu bersifat individu, ia tidak mencerminkan kerajaan negeri Melaka.
“Kerajaan negeri tetap komited untuk terus bergerak ke hadapan. Tapi kalau sekadar cakap-cakap, semua orang boleh bercakap. Kita tak takut. Kalau betul ada bukti, kemukakan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak akan melindungi individu bersalah jika ada bukti kukuh
- Menggalakkan pihak yang memiliki bukti salah laku untuk mengemukakannya dan bukan sekadar tuduhan tanpa bukti
- Menolak fitnah dan tuduhan tanpa bukti yang boleh mencemarkan nama baik individu dan imej parti serta kerajaan negeri
- Menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan tegas, seperti rehatkan individu terbabit untuk selesaikan masalah
- Prinsip Pemuda UMNO dan kerajaan negeri Melaka adalah tidak melindungi individu yang terbukti bersalah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

