UMNO lebih besar daripada mana-mana individu – Nurulhidayah

SHAH ALAM - Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menegaskan bahawa kesetiaan kepada asas perjuangan parti merupakan prinsip paling minimum yang perlu dijaga oleh setiap ahli UMNO terutama mereka yang pernah memegang jawatan penting dalam parti.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang menjelaskan keputusan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas meninggalkan UMNO enam bulan lalu atas alasan prinsip perjuangan politik yang lebih seiring dengan pendiriannya.
Menurut Nurulhidayah, jawatan dalam UMNO bukan sekadar hiasan, sebaliknya satu amanah besar yang datang bersama tanggungjawab moral, kesetiaan dasar dan disiplin politik.
“Apabila seseorang diberi kepercayaan oleh UMNO untuk memegang jawatan penting, khususnya sebagai senator dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ia bukan sekadar pangkat atau kedudukan. Ia datang bersama tanggungjawab moral, kesetiaan dasar dan disiplin politik,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.
Jelas beliau, kenyataan mana-mana pihak yang mendakwa perjuangan parti lain selari dengan perjuangan sendiri dianggap mengelirukan serta boleh menjejaskan integriti kepimpinan parti.
“Kenyataan seperti itu bukan sahaja mengelirukan ahli UMNO, malah mencabar integriti kepimpinan parti apabila beliau sendiri pernah diangkat sebagai senator dan diberi jawatan sebagai menteri mewakili UMNO pada ketika itu. Adakah haluannya sama hanya untuk tempoh tertentu?” soalnya.
Tambah Nurulhidayah, beliau tidak mudah melabel sesiapa sebagai pengkhianat, namun menzahirkan kesetiaan ideologi kepada parti lain selepas pernah diberi tanggungjawab dalam UMNO merupakan tindakan yang bertentangan dengan prinsip berorganisasi.
“Perbuatan menzahirkan kesetiaan ideologi kepada parti lain apabila pernah mempunyai jawatan dalam UMNO adalah tindakan yang jelas bertentangan dengan prinsip berorganisasi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyeru ahli UMNO agar tidak terlalu terpengaruh dengan episod seperti ini kerana perjuangan parti jauh lebih besar daripada mana-mana individu.
“UMNO lebih besar daripada mana-mana individu. Perjuangan kita tidak terhenti kerana ada antara kita telah memilih haluan yang berbeza. Apa yang penting, kita terus bekerja membina kembali keyakinan rakyat,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan perlu dipikul dengan kesetiaan dan kejujuran, bukan hanya untuk tempoh tertentu, sambil menegaskan pandangannya itu bukan bertujuan menghukum sesiapa.
“Saya menyatakan pandangan ini bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi untuk menyatakan prinsip. Kita sama-sama mendoakan, jika benar beliau ingin berjuang di platform baharu, agar beliau dapat memulakan perjalanan politik dengan niat yang jujur dan ikhlas,” ujarnya.
Nurulhidayah turut mengingatkan bahawa yang kekal dalam perjuangan politik bukanlah nama atau jawatan, tetapi kejujuran dan prinsip dalam membawa diri.
“Akhirnya, yang kekal bukanlah nama atau jawatan, tetapi bagaimana kita membawa diri untuk berjuang dengan berpaksikan prinsip yang lebih benar. All the best, TZ (Tengku Zafrul),” tambahnya.
Ringkasan AI
- Kesetiaan kepada asas perjuangan parti ditekankan oleh Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid sebagai prinsip minimum untuk setiap ahli UMNO
- Nurulhidayah mengulas tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai PKR, menjelaskan bahawa jawatan dalam UMNO bukan sekadar hiasan, tetapi datang dengan tanggungjawab moral dan kesetiaan
- Beliau mengkritik dakwaan yang mengatakan perjuangan parti lain selari dengan perjuangan UMNO, menyatakan hal itu sebagai pengeliruan dan tantangan kepada integriti kepimpinan
- Nurulhidayah menyatakan menzahirkan kesetiaan ideologi kepada parti lain selepas berada dalam UMNO sebagai tindakan bertentangan dengan prinsip berorganisasi
- Dia menyeru ahli UMNO untuk bekerja membina kembali keyakinan rakyat, menyatakan UMNO lebih besar daripada mana-mana individu dan perjuangan tidak terhenti kerana perbezaan pendapat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

