Rombakan Kabinet: Mat Sabu akur jika ditukar

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu akur sekiranya beliau ditukarkan ke kementerian lain jika berlaku rombakan Kabinet seperti yang hangat diperkatakan ketika ini.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, keputusan berkenaan merupakan hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mana-mana sahaja (akur jika bertukar kementerian). Itu terserah kepada Perdana Menteri. Amanah menerima sahaja.
“Kita kena jaga (hubungan) sebab pilihan raya sudah dekat, jadi kita kena kuatkan team (pasukan) untuk menghadapi pilihan raya,” katanya ketika sidang akhbar selepas selesai menyempurnakan perasmian Konvensyen Nasional 2025 Amanah di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini pada Sabtu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Jumaat memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet akan berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Berucap di Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI), Zambry mengharapkan sokongan Anwar untuk penganjuran festival berkenaan bagi tahun- tahun akan datang meskipun nasib beliau sebagai Menteri Kabinet tidak diketahui.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Anwar untuk membuat keputusan dalam menentukan barisan Menteri yang akan menganggotai Kabinet baharunya nanti.
“Perdana Menteri ada sebab untuk memperkuatkan Kabinetnya terserah kepada beliau untuk menentukan.
“Kabinet ini adalah hak Perdana Menteri, beliau boleh ambil orang politik orang profesional... orang dalam parti atau luar parti. Terserah kepada Perdana Menteri,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada rombakan tersebut pernah dibincangkan secara terbuka oleh Anwar, Mohamad berkata, perkara itu tidak berlaku.
“Setakat ini belum. Sama ada (rombakan) libatkan semua Kabinet atau hanya (beberapa kementerian tertentu) pun saya tidak tahu,” katanya.
Ringkasan AI
- Mohamad Sabu, Presiden Amanah, akur dengan sebarang perubahan kedudukan dalam Kabinet
- Keputusan rombakan adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Mengutamakan kesolidan parti menghadapi pilihan raya yang mendatang
- Menteri Pendidikan Tinggi memberi bayangan rombakan Kabinet akan berlaku dalam dua atau tiga minggu
- Mohamad Sabu menaruh kepercayaan penuh kepada Anwar dalam menentukan komposisi Kabinet baru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
