Ibu hadir ganti anak dalam ICU terima anugerah cemerlang UMPSA

Zaidah (dua dari kanan) bersama suaminya mewakili anak mereka untuk menerima anugerah disampaikan Abi Musa Asa'ari sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 pada Sabtu. - FOTO UMPSA
Zaidah (dua dari kanan) bersama suaminya mewakili anak mereka untuk menerima anugerah disampaikan Abi Musa Asa'ari sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 pada Sabtu. - FOTO UMPSA
A
A
A

KUANTAN - "Kami reda dengan ketentuan ini dan mohon semua agar mendoakan kesihatan dan keselamatan permata hati kami."

Demikian luahan Zaidah Tamjis, 62, yang hadir menggantikan anaknya, Dr Siti Hawa Apandi, 36, menerima Anugerah Hadiah Kecemerlangan Inklusif Abdullah bin Ummi Maktum Kategori: Pascasiswazah pada Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada Sabtu.

Siti Hawa yang juga bekas Presiden Kelab OkUMPSA (DAMAi) berjaya mengenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Fakulti Komputeran, namun tidak dapat hadir ke majlis itu kerana sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini akibat jangkitan paru-paru.

Zaidah hadir ditemani suami, Apandi A Hadi, 62, menjadi wakil bagi menerima anugerah yang disampaikan Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor sebelum majlis penganugerahan kepada para graduan.

Zaidah (dua dari kiri) bersama suaminya mewakili anak mereka untuk menerima anugerah disampaikan Abi Musa Asa'ari sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 pada Sabtu. - FOTO UMPSA
Zaidah (dua dari kiri) bersama suaminya mewakili anak mereka untuk menerima anugerah disampaikan Abi Musa Asa'ari sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 pada Sabtu. - FOTO UMPSA

"Saya bersyukur apabila impiannya untuk menggenggam PhD tercapai walaupun kali ini dia tidak dapat naik ke pentas untuk menerimanya sendiri.

“Apa yang kami harapkan kini dia selamat dan segera sembuh,” ujarnya.

Siti Hawa menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) sejenis penyakit yang melemahkan urat sarafnya sejak kecil sehingga dia tidak boleh bergerak tanpa bantuan.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, Zaidah sentiasa menemani sepanjang pengajian anaknya itu di UMPSA.

Wanita itu juga insan yang cukup luar biasa apabila tanpa jemu sentiasa berada di samping anaknya sama ada di asrama mahupun di dewan kuliah semenjak pengajian peringkat diploma sehingga ke peringkat PhD.

Zaidah turut menitipkan kata-kata semangat kepada para ibu yang mempunyai anak-anak istimewa supaya sentiasa memberi sokongan dan dorongan terhadap minat anak-anak.

"Jangan sesekali berputus asa," nasihatnya.

Sementara itu, walaupun berdepan keterbatasan disebabkan penyakit dihadapi itu, semangat Siti Hawa tidak pernah goyah untuk menyambung pengajian di UMPSA.

Lebih istimewa, sepanjang pengajiannya di UMPSA, beliau berjaya menggenggam Diploma Sains Komputer (2010) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), 3.79, Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada 2013 dengan PNGK 3.88, Sarjana Sains Komputer (2016) dan kini Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Semangat luar biasa Siti Hawa turut mendapat perhatian masyarakat sehingga menerima pelbagai anugerah antaranya Anugerah Khas Belia Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Pahang 2024 dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2024.

Selain aktif dalam akademik, beliau sentiasa lantang bersuara khususnya di media sosial bagi membela nasib golongan OKU sepertinya.

Beliau salah seorang daripada 4,259 graduan yang diraikan pada majis tersebut.

Ringkasan AI

  • Ibu, Zaidah Tamjis hadir menggantikan anaknya, Dr Siti Hawa Apandi, 36, menerima Anugerah Hadiah Kecemerlangan Inklusif Abdullah bin Ummi Maktum Kategori: Pascasiswazah pada Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
  • Siti Hawa berjaya mengenggam Ijazah Doktor Falsafah namun tidak dapat hadir ke majlis konvokesyen kerana sedang menerima rawatan di ICU
  • Zaidah selalu menemani Siti Hawa sepanjang pengajiannya di UMPSA meskipun anaknya menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) yang melemahkan urat saraf
  • Siti Hawa memperoleh kejayaan akademik yang cemerlang di UMPSA, menggenggam beberapa ijazah termasuk PhD
  • Siti Hawa aktif dalam akademik dan lantang bersuara di media sosial membela nasib golongan OKU, menerima pelbagai anugerah antaranya pada tahun 2024

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!