Amanah akui rundingan kerusi PRN paling sukar

Mohamad (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar selepas selesai merasmikan Konvensyen Nasional 2025 Amanah, pada Sabtu.
Mohamad (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar selepas selesai merasmikan Konvensyen Nasional 2025 Amanah, pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui rundingan kerusi antara perkara paling sukar dalam Kerajaan Perpaduan apabila berdepan pilihan raya negeri (PRN).

Beliau bagaimanapun menegaskan isu tersebut tidak menjejaskan hubungan antara antara parti dalam gabungan kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rundingan kerusi mana-mana (dalam PRN) pun sukar. Ia akan selesai kurang sehari sebelum penamaan calon dan itu perkara biasa dalam politik,” katanya ketika sidang akhbar selepas selesai menyempurnakan perasmian Konvensyen Nasional 2025 Amanah di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu rundingan kerusi yang masih menjadi pertikaian antara parti gabung Kerajaan Perpaduan susulan beberapa PRN akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

PRN Sabah diadakan berikutan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 6 Oktober lalu.

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November, disusuli pengundian awal pada 25 November dan pengundian biasa pula pada 29 November ini.

Menyentuh mengenai PRN Sabah, Amanah kata Mohamad masih berunding untuk menambah satu lagi kerusi.

“Setakat ini Amanah dapat satu kerusi dan kita sedang berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu lagi. Hasrat ini juga kita telah sampaikan kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Beliau akan buat rundingan akhir menjelang penamaan calon 15 November nanti.

“Kalau kami dapat satu lagi kerusi tambahan, itu satu permulaan yang membolehkan kami menyertai pilihan raya bersama rakan-rakan lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai keyakinan Amanah untuk memenangi satu-satunya kerusi yang sah akan ditandingi iaitu di Sulabayan, beliau berkata, mana-mana parti memasuki pilihan raya berhasrat untuk menang.

Mohamad dalam masa sama menzahirkan keyakinan, gabungan PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan kembali menguasai Sabah selepas pilihan raya itu nanti.

Ringkasan AI

  • Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui rundingan kerusi adalah cabaran terbesar dalam Kerajaan Perpaduan semasa PRN
  • Isu rundingan kerusi tidak menjejaskan hubungan dalam gabungan kerajaan Perpaduan
  • Rundingan kerusi biasanya selesai kurang sehari sebelum penamaan calon
  • PRN Sabah berlangsung akibat pembubaran DUN yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor
  • Amanah berharap dapat menambah satu lagi kerusi dalam PRN Sabah dan yakin gabungan PH, BN, GRS akan menguasai Sabah selepas PRN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!