Model Rusia lapor polis dakwa dimalukan pempengaruh dengan kata-kata lucah

KUALA LUMPUR - Model warga Rusia, Alisa Kasimova, 26, membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa kata-kata berbaur lucah daripada seorang pempengaruh tempatan ketika sedang makan di sebuah restoran di Bukit Bintang di sini.
Difahamkan, laporan itu dibuat mangsa di Balai Dang Wangi pada Jumaat.
Rakaman kejadian itu juga telah tular di media sosial.
Alisa berkata, laporan itu dibuat selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada orang di sekeliling yang bimbang akan keselamatannya.
“Ramai yang meminta saya tampil membuat laporan polis dan saya sudah pergi ke balai untuk membuat laporan.
“Saya melakukannya bukan kerana marah tetapi jika berdiam diri ia hanya akan melindungi mereka yang menyakiti orang lain,” katanya menerusi Threads pada Jumaat.
Menurut Alisa, amat menyedihkan melihat seorang lelaki bercakap begitu terhadap seorang wanita.
Katanya, pengalaman tersebut memang menyedihkan, tetapi tindakan seorang individu tidak mencerminkan keseluruhan tempat.
“Malaysia ialah sebuah negara yang indah dengan rakyat yang mesra serta penuh rasa hormat dan saya amat merasai kasih sayang di sini.
“Terima kasih atas semua mesej, empati dan solidariti. Saya tidak akan pergi ke balai polis jika bukan kerana anda. Kepada semua gadis jangan sesekali biarkan sesiapa menyakiti anda walaupun dengan hanya kata-kata,” katanya.
Sementara itu, pempengaruh lelaki terbabit tampil memohon maaf selepas teruk dikecam.
Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak polis berkenaan kes berkenaan.
Ringkasan AI
- Model warga Rusia membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa kata-kata berbaur lucah oleh pempengaruh tempatan di Bukit Bintang
- Laporan polis dibuat di Balai Dang Wangi
- Rakaman kejadian tular di media sosial
- Alisa mendapat nasihat untuk membuat laporan setelah bimbang akan keselamatan diri
- Pempengaruh lelaki yang terlibat telah memohon maaf selepas kejadian itu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
