SPRM teliti pelaksanaan DPA, elak perbicaraan mahkamah yang panjang

Azam berucap di Persidangan Antarabangsa Ke-15 IFCTF 2025 di MITEC Kuala Lumpur pada Khamis.
Azam berucap di Persidangan Antarabangsa Ke-15 IFCTF 2025 di MITEC Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertangguh atau Deferred Prosecution Agreement (DPA) sebagai langkah menjimatkan sumber daripada melalui perbicaraan mahkamah yang panjang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, DPA telah dilaksanakan di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

“Melalui mekanisme ini, syarikat yang terlibat dalam kesalahan rasuah boleh memulangkan aset haram dan melaksanakan reformasi bagi menangani rasuah dalam organisasi mereka sebagai pertukaran untuk pertimbangan kehakiman selain dapat menjimatkan masa serta sumber daripada melalui perbicaraan mahkamah yang panjang.

"Kerajaan kini juga sedang meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi menyediakan perlindungan lebih kukuh kepada individu yang tampil melaporkan rasuah dan salah laku," katanya dalam ucapan di Persidangan Antarabangsa Ke-15 Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.

Tambahnya, perkongsian maklumat, kerjasama risikan dan inovasi teknologi perlu menjadi norma dalam usaha membanteras jenayah rasuah.

Menurut Azam, SPRM juga sedang giat memperkukuhkan penggunaan teknologi canggih termasuk Kecerdasan Buatan (AI), data raya dan forensik digital bagi mengesan serta membanteras jenayah kewangan dan rasuah yang semakin kompleks.

Jelasnya, kemajuan teknologi telah mengubah landskap tadbir urus dan jenayah, membolehkan penjenayah bergerak lebih pantas, lebih pintar serta sering melangkaui sempadan.

“SPRM telah mengguna pakai kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) yang menggabungkan pengalaman penyiasatan tradisional dengan analitik data dan sistem bantuan AI bagi menjejak aliran kewangan tidak teratur serta memetakan rangkaian jenayah dengan lebih berkesan.

“Operasi kami kini mengintegrasikan AI untuk tujuan pembuktian, analisis dokumen dan penilaian kes, sekali gus membolehkan pegawai melengkapkan siasatan kes kompleks dalam tempoh lebih singkat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis itu, Azam menerima kunjungan hormat Setiausaha Eksekutif Egmont Group (EG), Jérôme Beaumont di Bilik Mesyuarat MITEC bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama strategik dalam membekalkan bukti jenayah kewangan dan rasuah.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad.

Ringkasan AI

  • SPRM meneliti pelaksanaan DPA untuk menjimatkan sumber dan mengelak perbicaraan mahkamah yang panjang
  • DPA telah dilaksanakan di UK, AS dan Australia membolehkan syarikat menggantikan aset haram dan melakukan reformasi untuk mengelak perbicaraan
  • Kerajaan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk perlindungan lebih kepada pemberi maklumat rasuah
  • SPRM memperkukuh penggunaan teknologi seperti AI, data raya dan forensik digital dalam membanteras rasuah
  • SPRM menggunakan Siasatan Berasaskan Risikan yang menggabungkan analitik data dan AI bagi mempercepatkan siasatan kes kompleks

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!