Bawang besar, telur paling laris dalam tempoh PKP

A
A
A

POKOK SENA - Bawang besar dan telur ayam merupakan barangan runcit paling laris dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai di kawasan ini mendapati, kedua-dua barangan berkenaan mendapat permintaan tinggi sehingga cepat kehabisan stok.

Seorang peniaga kedai runcit, Kee Boon Luh, 47, berkata, dia menerima 10 papan telur daripada pembekal petang semalam, namun dalam tempoh kurang 24 jam, baki telur di kedainya tinggal tujuh biji sahaja.

"Stok memang terhad, pembekal tidak akan beri lebih. Kebanyakan pelanggan yang datang akan membeli 30 biji (sepapan), sekali gus untuk disimpan di rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, begitu juga dengan bekalan bawang besar, dia hanya akan menerima kuantiti sebanyak lima kilogram setiap kali pembekal menambah stok barangan tersebut.

Seorang penjaga kedai runcit, Nur Ilia Natasha Shahidan, 19, juga turut mengakui menghadapi situasi yang sama apabila bekalan kedua-dua barangan berkenaan tidak mencukupi dan bekalan bawang besar turut habis dijual hari ini.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nur Hazatul Mohd Nor, 31, dari Kebun 500 di sini berkata, dia sering mengalami masalah mendapatkan kedua-dua barangan berkenaan.

"Selalu kalau bernasib baik, dapatlah beli tetapi kena keluar awal pagi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau waktu petang selalunya stok telur dan bawang dah habis atau pun terpaksa berebut dengan orang lain untuk beli," katanya.

Nur Hazatul berkata, telur menjadi satu keperluan dalam tempoh PKP ini kerana ia mudah disimpan dan disediakan.

"Ada telur ni mudah kalau nak masak apa-apa pun, tak perlu nak keluar rumah, boleh terus masak dan tak perlu bersesak di pasar," katanya.