MOT teliti cadangan wajib paparan jumlah subsidi tiket penerbangan

Anthony Loke ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Anthony Loke ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti cadangan mewajibkan syarikat penerbangan memaparkan jumlah subsidi kerajaan bagi tiket penerbangan ke laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya akan berbincang dengan syarikat penerbangan bagi mencari mekanisme terbaik supaya penumpang mendapat makluman jelas mengenai jumlah subsidi yang mereka terima.

"Sesetengah penumpang mungkin tidak sedar jumlah subsidi besar yang telah diperuntukkan kerajaan apabila mereka membeli tiket penerbangan pada musim perayaan,” katanya menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat mewajibkan pemakluman sedemikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kementerian membelanjakan RM19.5 juta untuk mensubsidikan 39,744 tiket penerbangan, bersamaan RM491 bagi setiap tiket yang layak untuk tahun ini.

Anthony berkata, melalui subsidi itu, harga maksimum yang perlu dibayar oleh penumpang ialah RM499 walaupun purata harga sebenar tiket adalah RM990.

"Subsidi untuk tahun ini telah dilaksanakan bagi Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan akan diteruskan untuk Krismas pada bulan depan,” katanya. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pengangkutan akan meneliti cadangan mewajibkan syarikat penerbangan memaparkan jumlah subsidi kerajaan untuk tiket penerbangan sempena musim perayaan
  • Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, akan berbincang dengan syarikat penerbangan untuk mekanisme terbaik penyampaian maklumat subsidi kepada penumpang
  • Penumpang mungkin tidak sedar tentang jumlah subsidi kerajaan untuk tiket penerbangan semasa musim perayaan
  • Kementerian Pengangkutan membelanjakan RM19.5 juta untuk mensubsidikan 39,744 tiket, bersamaan RM491 bagi setiap tiket untuk tahun ini
  • Subsidi membolehkan harga maksimum tiket adalah RM499, walaupun purata harga sebenar adalah RM990

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!