279 tentera Israel cuba tamat riwayat sendiri sepanjang 18 bulan konflik Gaza

Akibat krisis trauma mereka bertindak sedemikian. - Foto: Agensi
Akibat krisis trauma mereka bertindak sedemikian. - Foto: Agensi
A
A
A

BAITULMAQDIS – Data rasmi menunjukkan seramai 279 anggota tentera Israel cuba menamatkan riwayat sendiri dalam tempoh 18 bulan ketika perang berdarah di Semenanjung Gaza terus menjejaskan kesihatan mental anggota pasukan pertahanan negara itu.

Menurut laporan penyelidikan terbaharu Pusat Kajian dan Maklumat Knesset, angka itu meliputi tempoh antara Januari 2024 hingga Julai 2025 dan digambarkan sebagai 'perkembangan yang amat membimbangkan' oleh penyiar awam Israel, KAN.

Daripada jumlah tersebut, 36 tentera disahkan meninggal dunia akibat menamatkan riwayat sendiri, manakala 12 peratus daripada cubaan berkenaan dikategorikan sebagai sangat serius dan 88 peratus lagi berada pada tahap sederhana.

Sejak tahun 2017 hingga Julai 2025, sebanyak 124 anggota tentera Israel dilaporkan meninggal dunia akibat menamatkan riwayat sendiri, 68 peratus daripadanya sedang menjalani khidmat wajib, 21 peratus merupakan anggota simpanan dan 11 peratus lagi pegawai tetap.

Laporan tersebut turut merekodkan peningkatan ketara dalam kes berkenaan dalam kalangan tentera simpanan sejak tahun 2023, dipercayai berpunca daripada tekanan emosi dan trauma akibat penempatan semula besar-besaran sejak perang Gaza bermula.

Ahli Knesset dari blok kiri, Ofer Cassif, yang meminta laporan itu disediakan, menyifatkan situasi tersebut sebagai 'wabak menamatkan riwayat sendiri' dan menegaskan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem sokongan sebenar kepada anggota tentera.

“Wabak ini dijangka bertambah parah selepas perang berakhir. Ia menuntut tindakan segera untuk menghentikan kitaran konflik dan mencari keamanan sebenar,” katanya.

Cassif turut menuduh kerajaan Israel “menghantar tentera ke medan perang tetapi membiarkan mereka berjuang sendirian dengan akibat psikologi yang menghantui mereka selepas itu.”

Peningkatan kadar kes ini menambah tekanan terhadap kepimpinan tentera Israel yang kini berdepan krisis moral dan reputasi selepas lebih setahun operasi ketenteraan di Gaza. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Data rasmi menunjukkan seramai 279 anggota tentera Israel cuba menamatkan riwayat sendiri dalam tempoh 18 bulan berdasarkan perang di Semenanjung Gaza
  • Dalam tempoh itu, 36 tentera disahkan meninggal dunia akibat cubaan tersebut dengan 12 peratus cubaan dikategorikan sangat serius
  • Sejak tahun 2017 hingga Julai 2025, 124 anggota tentera Israel meninggal karena menamatkan riwayat sendiri
  • Peningkatan kes dalam kalangan tentera simpanan dipercayai berpunca daripada tekanan emosi dan trauma akibat perang Gaza
  • Ahli Knesset, Ofer Cassif, menyifatkan situasi ini sebagai wabak menamatkan riwayat sendiri dan menyeru tindakan segera serta kritik kepimpinan tentera Israel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!