8 kertas siasatan tipu jual topeng muka, 'hand sanitizier' di Terengganu

Roslee Chik
Roslee Chik
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis membuka lapan kertas siasatan melibatkan kes penipuan penjualan topeng muka serta cecair pembasmi kuman di media sosial terutama Facebook.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan kerugian keseluruhan RM10,488 sejak 18 Mac lalu sehingga hari ini

"Polis berjaya mengesan wujudnya kegiatan penipuan dalam penjualan topeng muka dan cecair pembasmi kuman memandangkan permintaan tinggi terhadap kedua-dua barangan tersebut semasa negara sedang bergelut dengan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah percaya dengan penjualan topeng muka dan cecair pembasmi kuman di media sosial, sebaliknya perlu mendapatkan bekalan tersebut dengan pembekal sah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Roslee berkata, operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di pusat perbankan berjalan seperti biasa dan tidak tertakluk kepada arahan penutupan operasi dan premis perniagaan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pihaknya menafikan penutupan operasi mesin ATM dan CDM seawal jam 6 petang yang dikeluarkan PBT susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang tular sebelum ini di laman sosial.

"Sebarang maklumat yang mengatakan mesin ATM dan CDM hanya beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 6 petang adalah tidak benar dan orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan itu seperti biasa dengan mengamalkan langkah penjarakan sosial (social distancing)," katanya.

Artikel Berkaitan: