Atuk 81 tahun ditahan bersekedudukan dengan wanita 69 tahun

ALOR GAJAH – Seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun ditahan selepas disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita berusia 69 tahun di sebuah rumah di Lubok China, di sini pada malam Isnin.
Difahamkan, serbuan kira-kira jam 10 malam itu dilakukan oleh imam, ketua kampung bersama anggota polis serta penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Kedua-dua mereka ditahan untuk tindakan lanjut selepas gagal menunjukkan dokumen sah pernikahan.
Gambar serbuan terbabit turut tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Menurut sumber kariah masjid, lelaki berkenaan yang baharu kehilangan isteri bulan lalu merupakan seorang peniaga dan sering dilihat keluar bersama wanita terbabit.
"Penduduk sebelum ini sudah menegur tindakan pasangan warga emas terbabit yang sering dilihat keluar berdua.
“Tetapi mereka bukanlah tinggal bersama di rumah itu, cuma ketika serbuan dibuat, hanya mereka berdua yang berada di dalam rumah," katanya.
Pasangan itu kemudian dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa nikah.
Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung serbuan itu.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun ditahan kerana disyaki bersekedudukan dengan wanita berusia 69 tahun
- Serbuan dilakukan oleh imam, ketua kampung, anggota polis dan penduduk kampung
- Kedua-dua individu gagal menunjukkan dokumen sah pernikahan
- Gambar serbuan tular di media sosial mencetuskan pelbagai reaksi warganet
- Pasangan tersebut dibawa ke pejabat agama untuk siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

