Pengecualian subsidi RON95 golongan T15 selepas sistem sudah mantap - Anwar

Anwar ketika sesi PMQT di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar ketika sesi PMQT di Dewan Rakyat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengecualian pemberian subsidi RON95 kepada golongan berpendapatan tinggi (T15) hanya boleh dilaksanakan selepas sistem Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang kini diguna pakai kerajaan, dinaik taraf menjadi lebih mantap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melihat pengecualian itu boleh dilaksanakan kepada mereka yang benar-benar berpendapatan tinggi ataupun menggunakan kenderaan mewah.

"Buat masa ini kerajaan meneruskan dahulu pelaksanaan program BUDI95 dengan sistem sedia ada.

"Kalau ada keperluan di masa akan datang, yang mana sistem itu lebih mantap, maka kita boleh kenakan tetapi bagi yang benar-benar tinggi ataupun kenderaan mewah," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai keputusan kerajaan melaksanakan BUDI95 yang memanfaatkan semua waarganegara termasuk golongan T15.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan dapat berjimat kira-kira RM2.5 bilion menerusi pelaksanaan BUDI95.

"Ada yang mengatakan bahawa ini lebih rendah daripada yang disasarkan pada peringkat awal mengikut kajian Bank Dunia.

"Saya tidak setuju sebab kita lihat penyelesaian subsidi dari keseluruhan.

"Dari (penyasaran) diesel, kita dapat selamatkan RM5 bilion. Jumlah itu kerana sistem lama (digunakan) terlalu banyak penyeludupan dan ketirisan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau berkata, kerajaan juga merekodkan penjimatan sebanyak RM6 bilion dari segi penyasaran subsidi elektrik manakala bagi ayam dan telur masing-masing RM1 bilion.

"Mengikut pendapat saya, ini sudah cukup bagi kerajaan supaya kita laksanakan dengan hati-hati agar tidak membebankan rakyat," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan akan kecualikan subsidi RON95 untuk golongan T15 setelah Program Budi Madani RON95 dinaik taraf
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kecualian subsidi ditujukan untuk mereka yang berpendapatan tinggi atau menggunakan kenderaan mewah
  • Pelaksanaan program BUDI95 dengan sistem sedia ada akan diteruskan buat masa ini
  • Kerajaan berjimat kira-kira RM2.5 bilion menerusi BUDI95
  • Penjimatan tambahan termasuk RM5 bilion dari diesel, RM6 bilion dari subsidi elektrik, dan RM1 bilion bagi ayam serta telur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!