'Dua gelombang jentera bagi bantu PRN Sabah' - Pas Pahang

KUANTAN - Dua gelombang disusun bagi menghantar jentera Pas Pahang membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan tumpuan diberikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Andansura Rabu berkata, penghantaran dibuat secara berperingkat dengan kumpulan pertama dijangka berlepas ke Sabah minggu ini.
“Insya-ALLAH jentera kita akan mula bertugas pada 7 November, manakala kumpulan kedua akan menyusul seminggu kemudian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah memberitahu, keseluruhan jentera melibatkan kira-kira 50 petugas yang mempunyai pelbagai kepakaran termasuk dalam bidang teknologi maklumat (IT), penerangan, kempen serta perayu undi daripada Muslimat.
"Penghantaran jentera itu menunjukkan komitmen kita dalam memastikan kelancaran gerak kerja parti di peringkat nasional, selain memperkukuh semangat perpaduan dan sokongan antara negeri,” katanya.
Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ADUN yang dilantik.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November ini dan tarikh pengundian awal serta hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
PRN Sabah kali ini turut menyaksikan beberapa negeri lain menghantar jentera bantuan bagi memperkukuh gerak kerja kempen di kawasan masing-masing.
Ringkasan AI
- Pas Pahang menyusun dua gelombang jentera untuk membantu kempen PRN Sabah di DUN Kunak
- Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Andansura Rabu, mengatakan penghantaran secara berperingkat dengan kumpulan pertama berlepas minggu ini
- Jentera Pas akan mula bertugas pada 7 November, dengan kumpulan kedua mengikut seminggu kemudian
- Kira-kira 50 petugas dengan pelbagai kepakaran akan terlibat dalam membantu kempen di Sabah
- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada 6 Oktober untuk PRN Sabah ke-17
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

