13.1 juta rakyat Malaysia telah guna BUDI95 - Anwar

KUALA LUMPUR - Seramai 13.1 juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan BUDI Madani RON95 (BUDI95) pada bulan Oktober pelaksanaan Program Penyasaran Subsidi RON95.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.6 bilion dengan subsidi kerajaan kepada rakyat berjumlah RM800 juta bagi tempoh berkenaan.
"Purata jumlah liter yang digunakan penerima BUDI95 adalah sebanyak 98 liter, iaitu 33 peratus daripada kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan.
"Hanya kurang 0.7 peratus sahaja penerima BUDI95 yang menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan Oktober 2025," katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan tertakluk syarat perjalanan ditetapkan.
Pada masa sama beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan turut bersetuju supaya teksi lapangan terbang disenaraikan sebagai kenderaan yang layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
"Kerajaan akan terus memantau corak penggunaan dan membuat penilaian semula dari semasa ke semasa bagi memperkukuh pelaksanaan dasar penyasaran subsidi RON95.
"Tindakan penguatkuasaan juga akan diambil atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi RON95," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seramai 13.1 juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan BUDI Madani RON95 pada bulan Oktober
- Perbelanjaan kerajaan untuk BUDI95 adalah sebanyak RM2.6 bilion dengan subsidi berjumlah RM800 juta
- Rata-rata penggunaan penerima BUDI95 adalah 98 liter, 33 peratus daripada kelayakan bulanan 300 liter
- Kurang dari 0.7 peratus penerima menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan 300 liter sebelum akhir Oktober
- Had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing ditingkatkan kepada 800 liter sebulan, teksi lapangan terbang layak menerima subsidi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

