Jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan agar bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kedua ASEAN melalui pendekatan serantau yang menyeluruh.
Katanya, perjuangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN bukan perkara baharu, malah pernah dicadangkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2017 dan diperkukuh menerusi persetujuannya bersama bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Hasrat Ismail Sabri itu sangat signifikan kerana bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca dalam perdagangan dan pentadbiran di seluruh Nusantara.
Selain Malaysia, negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Bahasa Melayu telah lama berfungsi sebagai bahasa serantau yang menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang termasuk dari China dan India untuk urusan perdagangan serta pentadbiran.
Perjuangan Ismail Sabri memartabatkan bahasa Melayu bukan sekadar kata-kata. Beliau pernah berdiri di podium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, dan berucap sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Di hadapan pemimpin dunia, beliau tidak memilih bahasa Inggeris, Perancis atau Arab sebaliknya berucap menggunakan bahasa bangsanya sendiri. Ramai memuji, ada juga yang sinis.
Hakikatnya, itulah detik bersejarah yang membuktikan bahasa Melayu tidak pernah kecil. Yang kecil hanyalah keyakinan sesetengah kita terhadapnya.
Tindakan Ismail Sabri itu harus menjadi titik kebangkitan, bukan nostalgia semata-mata. Ia bukti bahawa bahasa Melayu boleh berdiri sama tinggi dengan bahasa dunia lain, asalkan kita berani meletakkannya di tempat yang sewajarnya.
Kalau di PBB pun bahasa Melayu boleh berkumandang dengan megah, apa alasan kita jika masih malu menuturkannya di tanah air?
Kalau dunia boleh mendengar bahasa Melayu di New York, kenapa tidak di peringkat ASEAN? Sudah tiba masanya kita berhenti memandang bahasa ini sebagai warisan dan mula menggunakannya sebagai senjata maruah bangsa.
Pada zaman penjajahan, penjajah dari Belanda dan Inggeris terpaksa mempelajari bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan.
Bahasa Melayu tak perlukan simpati. Ia perlukan keberanian — keberanian pemimpin untuk menggunakannya tanpa rasa malu, dan keberanian untuk menjadikannya sebagai bahasa kedua ASEAN!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
