Berang dipukul kerana enggan kemas bilik, anak buat laporan polis terhadap ibu

MALANG – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari daerah Tumpang, Malang, membuat laporan polis terhadap ibunya sendiri selepas dipukul kerana enggan mengemas biliknya.
Laporan dibuat melalui talian kecemasan 110 pada Sabtu lalu.
Jurucakap Polis Malang, AKP Bambang Subinajar, mengesahkan insiden itu dan berkata, anggota polis segera ke lokasi sejurus menerima laporan bagi memastikan kedua-dua pihak berada dalam keadaan selamat.
“Setelah menerima laporan, anggota Polis Daerah Tumpang terus ke rumah pengadu untuk memastikan keadaan anak dan ibunya dalam keadaan baik.
"Setelah diperjelaskan, ternyata insiden ini berpunca daripada salah faham antara ibu dan anak,” kata Bambang pada Isnin.
Menurut pihak polis, kejadian bermula apabila ibu remaja itu, dikenali sebagai S,45, meminta anaknya TPS melipat selimut dan mengemas tempat tidurnya. Bagaimanapun, remaja tersebut tidak mengendahkan arahan dan terus bermain telefon bimbit.
Dalam keadaan marah, ibu berkenaan memukul anaknya dengan penyapu, menyebabkan lebam ringan pada lengan dan peha remaja itu.
“Selepas kejadian, ibu pergi bekerja di kebun, manakala anaknya menghubungi polis melalui talian 110,” jelas Bambang.
Anggota polis Tumpang kemudiannya membawa ibu dan anak itu ke balai raya untuk sesi kaunseling bersama pegawai tempatan.
“Polis bertindak sebagai orang tengah dan memberikan kaunseling. Kedua-dua pihak akhirnya berdamai dan bersetuju menyelesaikan isu ini secara kekeluargaan melalui surat pernyataan bersama,” tambahnya.
Polis menegaskan bahawa isu kekeluargaan sebaiknya diselesaikan melalui perbincangan terlebih dahulu, dengan pihak berkuasa hanya campur tangan apabila diperlukan.-Agensi
Ringkasan AI
- Remaja lelaki 17 tahun dari Malang membuat laporan polis terhadap ibunya kerana dipukul selepas enggan mengemas bilik
- Polis mengesahkan insiden dan segera ke lokasi untuk memastikan keamanan kedua pihak
- Insiden berpunca daripada salah faham antara ibu dan anak
- Ibu memukul anaknya dengan penyapu akibat tidak mengendahkan arahan mengemas
- Polis memberikan kaunseling dan kedua-dua pihak berdamai, menyelesaikan isu secara kekeluargaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

