Jawatankuasa Siasatan Bebas mulakan siasatan kes tujuh pemain warisan

Md Raus
Md Raus
A
A
A

JAWATANKUASA Siasatan Bebas (IIC) yang ditubuhkan bagi menyiasat kes isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada Isnin.

Pengerusi IIC, Tun Md Raus Sharif berkata, jawatankuasa itu akan berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan siasatan dan menyediakan laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam tempoh enam minggu.

Beliau juga mengumumkan IIC itu akan dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Kamaludin Md Said; bekas Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr Yusof Ismail manakala peguam kanan, Datuk Thavailingarum C Thavarajah bertindak sebagai setiausaha.

"Selain itu, FAM sebelum ini mencadangkan agar semua kemudahan pentadbiran dan bantuan sekretariat disediakan oleh pihak FAM bagi memastikan kelancaran urusan IIC.

"Namun, bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan, kemudahan pentadbiran serta bantuan sekretariat akan disediakan oleh Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (Peguamcara & Peguambela)," katanya.

Beliau turut menjelaskan keempat-empat ahli jawatankuasa berkenaan tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran atau imbuhan bagi melaksanakan tugas mereka.

Pada 7 Oktober lalu, FAM telah melantik Tun Md Raus iaitu bekas Ketua Hakim Negara sebagai Pengerusi IIC bagi mengetuai siasatan berhubung kes berkenaan serta menyediakan laporan dan syor untuk pertimbangan dan tindakan lanjut FAM.

Bulan lalu, FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan bahawa FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, FAM dikenakan denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.

Dalam penjelasan sebelum ini, FAM menyatakan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh seorang pegawai pentadbiran.

Ringkasan AI

  • Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang ditubuhkan untuk menyiasat kes pemain warisan Harimau Malaya telah mengadakan mesyuarat pertama
  • Pengerusi IIC, Tun Md Raus Sharif mengatakan siasatan akan diselesaikan dan laporan disediakan dalam enam minggu
  • IIC dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, bekas Ketua Pengarah MAMPU, dan peguam kanan sebagai setiausaha
  • Kemudahan pentadbiran dan bantuan sekretariat untuk IIC akan disediakan oleh Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak untuk mengelakkan konflik kepentingan
  • Empat ahli jawatankuasa tidak akan menerima bayaran untuk melaksanakan tugas mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!