Kes kematian pengawal keselamatan diklasifikasi sebagai kes bunuh

Video tular memaparkan pengawal keselamatan diserang seorang lelaki pada Oktober lalu.
Video tular memaparkan pengawal keselamatan diserang seorang lelaki pada Oktober lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis mengklasifikasikan semula kes kematian seorang pengawal keselamatan berusia 54 tahun yang diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh baru-baru ini sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, siasatan diklasifikasikan semula selepas mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa jam selepas kejadian pada 13 Oktober lalu.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Suspek iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai pemilik salah satu unit kondominium berkenaan masih berada di bawah jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Isnin.

Katanya, sebelum ini kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

"Polis turut merampas pemetik api milik suspek yang menyerupai sepucuk pistol, namun bersaiz lebih kecil daripada senjata sebenar.

"Setakat ini, pihak polis masih menunggu arahan lanjut daripada TPR berhubung tindakan susulan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang pengawal keselamatan diserang individu di sebuah kawasan kondominium selepas enggan meninggalkan pos kawalan untuk membantu suspek ke blok lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek kemudian bertindak agresif dengan menampar muka kiri, menumbuk dahi serta memijak badan dan kaki mangsa sebelum mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Ringkasan AI

  • Kes kematian pengawal keselamatan di luar kondominium Jalan Ipoh diklasifikasikan sebagai pembunuhan
  • Mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa jam selepas diserang
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
  • Suspek berusia 32 tahun dipercayai pemilik unit kondominium dan masih dalam jaminan polis
  • Polis merampas pemetik api milik suspek yang menyerupai pistol

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!