Sindiket tipu kerja sambilan dalam talian, tawar tugasan mudah perdaya mangsa

Mohd Adli
Mohd Adli
A
A
A

KUANTAN - Taktik menawarkan tugasan mudah dan memberi komisen kecil pada peringkat awal antara modus operasi sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian yang dikesan di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, turut dikesan taktik penipuan melalui penghantaran bungkusan berisi bekas makanan dan hadiah berupa botol air kononnya penghargaan daripada aplikasi media sosial ke alamat rumah mangsa.

Menurutnya, mangsa terdedah kepada perangkap sindiket apabila mengimbas kod respons pantas (QR) yang tertera.

"Sindiket juga semakin licik apabila dikesan menggunakan nombor akaun bank berbeza bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Mohd Adli berkata, pihaknya menerima enam laporan polis berkaitan penipuan tawaran kerja sambilan 'online' dalam tempoh 25 Oktober hingga 2 November lalu.

"Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa dianggarkan hampir RM60,000.

"Kesemua mangsa diperdaya sindiket melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, TikTok, WhatsApp dan Telegram dengan menawarkan kerja sambilan seperti tugasan 'like & share' dan 'screenshot' bagi mendapatkan komisen," katanya.

Tambah Mohd Adli, kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja sambilan atas talian yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

Artikel Berkaitan:

"Elak pautan mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyemal akaun penerima melalui pautan Portal Semak Mule (https://semakmule.rmp.gov.my) sebelum membuat bayaran dan laporkan segera kepada National Scam Response Center (997) atau balai polis berhampiran jika mengesyaki berlaku penipuan.

Ringkasan AI

  • Sindiket penipuan menawarkan kerja sambilan dalam talian dengan komisen kecil pada peringkat awal di Kuantan
  • Mangsa terperangkap apabila mengimbas kod QR yang tertera pada bungkusan hadiah dari aplikasi media sosial
  • Sindiket menggunakan nombor akaun bank berbeza untuk mengelirukan pihak berkuasa
  • Enam laporan polis berkaitan penipuan ini diterima dengan kerugian hampir RM60,000 dalam tempoh seminggu
  • Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan tawaran kerja sambilan dalam talian dan mengelakkan berkongsi maklumat peribadi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!