Ibu bapa mentua pempengaruh antara empat individu ditahan kes gaduh

KLANG – Polis menahan empat individu termasuk ibu bapa mentua kepada seorang pempengaruh bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Taman Bertih Laut, Teluk Pulai di sini pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.40 petang.
"Siasatan mendapati kejadian membabitkan perselisihan faham antara ahli keluarga isteri dengan pengadu.
"Pengadu merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun, susulan laporan diterima, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 22 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kamalariffin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.
"Pegawai penyiasat kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Ringkasan AI
- Polis menahan empat individu termasuk ibu bapa mentua pempengaruh kerana pergaduhan di Klang
- Pergaduhan berlaku di Taman Bertih Laut, Teluk Pulai pada jam 2.40 petang
- Perselisihan faham antara ahli keluarga isteri dengan pengadu berusia 33 tahun
- Empat individu yang ditahan berusia antara 22 hingga 59 tahun
- Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

