Guna Bas.My lebih jimat, pas bulanan turun harga RM30

JOHOR BAHRU – Penurunan harga pas bulanan perkhidmatan Bas.My daripada RM50 kepada RM30 sebulan yang berkuat kuasa serta-merta itu membolehkan rakyat menikmati perjalanan tanpa had serendah RM1 sehari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah tersebut bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup dan menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Jelasnya, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar sekolah kekal menikmati perjalanan percuma dengan syarat mempunyai pas perjalanan.
“Kita tahu ada yang tinggal di Kulai, Pasir Gudang atau kawasan luar Johor Bahru dan bergantung sepenuhnya dengan bas untuk ke tempat kerja. Dengan pas RM30 ini, mereka boleh berjimat besar.
"Inisiatif itu hanya terpakai untuk warga negara Malaysia sahaja, manakala bukan warganegara masih perlu membayar tambang penuh.
"Penurunan harga pas itu juga akan diperluaskan ke semua negeri yang mempunyai perkhidmatan Bas.My supaya lebih ramai rakyat menikmati manfaat sama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti Bas.My Johor Bahru, di sini pada Isnin.
Setakat ini, perkhidmatan Bas.My beroperasi di Kangar, Kota Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuching, selain akan beroperasi mengikut fasa di Kuantan.
Anthony turut memaklumkan, penggunaan Bus.My di Johor Bahru sahaja mencatatkan lebih 900,000 penumpang setiap bulan, bersamaan lebih 30,000 pengguna setiap hari.
“Dengan penambahan bilangan bas dan laluan baharu di bawah inisiatif Bus.My Johor Bahru, kita harap jumlah ini dapat meningkat melebihi 1 juta penumpang sebulan,” ujarnya.
Selain itu katanya, bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan, aplikasi Journey Planner diperkenalkan bagi membolehkan mereka melihat lokasi sebenar bas secara masa nyata, laluan dan jadual perjalanan.
Jelasnya, pengendali bas juga diwajibkan berkongsi data GTFS-R kepada platform terbuka supaya lebih banyak aplikasi perancang perjalanan boleh dibangunkan untuk kegunaan rakyat.
Dalam pada itu, perkhidmatan Bas.My Medic juga bakal dilancarkan menjelang hujung tahun ini bagi membantu pesakit mobiliti terhad termasuk pengguna kerusi roda ke hospital dan pusat dialisis.
Ringkasan AI
- Harga pas bulanan perkhidmatan Bas.My diturunkan daripada RM50 kepada RM30
- Langkah ini bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam
- Golongan OKU, warga emas dan pelajar sekolah menikmati perjalanan percuma dengan pas perjalanan
- Inisiatif ini hanya terpakai untuk warga negara Malaysia, bukan warganegara perlu membayar tambang penuh
- Penurunan harga pas akan diperluaskan ke semua negeri yang mempunyai perkhidmatan Bas.My
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

