Hakim Danish teruja 'panas enjin' awal Moto3

ENJIN semangat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli kini benar-benar dihidupkan ke gear dunia apabila bakal beraksi dalam dua pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Moto3 2025, sekali gus menandakan langkah besar kariernya ke pentas global.
Pelumba berusia 17 tahun itu dipilih menggantikan Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan, untuk mewakili MT MSi Racing Team di Grand Prix (GP) Portugal (7–9 November) dan GP Valencia (14–16 November).
Lebih menarik, kemunculan ini bakal menjadi pentas pemanasan terbaik buatnya sebelum menyertai musim penuh Moto3 2026.
“Saya amat berterima kasih kepada MSi Racing Team atas peluang ini. Saya akan belajar sebanyak mungkin dan menyesuaikan diri dengan jentera Moto3, yang jelas berbeza daripada motosikal Rookies Cup dan JuniorGP,” ujar Hakim Danish.
Sementara itu, Pengarah ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan peluang tersebut sebagai langkah awal mengenali tekanan sebenar perlumbaan dunia.
“Saya tidak meletakkan jangkaan tinggi, cuma mahu dia kekal kompetitif dan gunakan peluang ini untuk memahami jentera serta pasukan.
“Ini ujian berharga sebelum musim penuh tahun depan,” jelas Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto3 negara.
Ringkasan AI
- Hakim Danish akan beraksi dalam dua pusingan terakhir MotoGP Moto3 2025
- Pelumba berusia 17 tahun itu menggantikan Ryusei Yamanaka yang cedera untuk wakili MT MSi Racing Team
- Kemunculan ini sebagai pemanasan sebelum menyertai musim penuh Moto3 pada 2026
- Hakim berterima kasih kepada MSi Racing Team dan akan menyesuaikan diri dengan jentera Moto3
- Zulfahmi Khairuddin menyatakan ini sebagai langkah awal Hakim mengenali tekanan perlumbaan dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
