Orang awam parah ditikam dalam tren di UK

CAMBRIDGESHIRE - Sekurang-kurangnya sembilan penumpang kereta api London-North Eastern Railway (LNER) cedera parah ditikam secara rambang dalam kejadian berhampiran stesen Huntingdon sekitar jam 7.30 malam (waktu tempatan).
Menurut laporan BBC News, Polis Pengangkutan British (BTP) tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.39 malam ekoran tren tergendala dan berjaya memberkas dua suspek kemudiannya.
Lebih dari 30 pegawai polis diarah pergi ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan lanjut bagi mencari motif sebenar.
Pada awal pagi Ahad (waktu Malaysia), tular di media sosial mengenai kejadian membimbangkan itu apabila wargamaya di seluruh United Kingdom (UK) berkongsi video memaparkan polis mengepung stesen kereta api Huntingdon tersebut.
Laman sesawang LNER turut mengesahkan bahawa pihaknya sedang mengendalikan perkhidmatan tren sebaik mungkin susulan kejadian antara hentian Stevenage dan Peterborough itu.
Katanya, kesemua laluan ditutup sementara buat masa ini sementara pihak polis meneruskan siasatan dan pencarian.
“Tren yang bergerak melalui stesen ini mungkin mengalami kelewatan sekitar satu jam.
“Gangguan berskala besar dijangka berlaku sehingga lewat malam ini,” kata LNER selaku pengendali sistem.
Sementara itu, jurucakap bagi pasukan ambulan di Timur England turut mengesahkan bahawa kesemua mangsa tikaman telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan susulan.
Pasukan penjagaan kesihatan kritikal seperti Ambulans Udara East Anglian serta Ambulans Udara Essex dan Herts dihantar ke stesen berkenaan.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer menerusi hantaran di X mendoakan agar kesemua yang terkesan dalam insiden berhampiran stesen kereta api Huntingdon selamat dan menerima rawatan kecemasan secepatnya.
“Apa yang berlaku benar-benar membimbangkan. Doa dan ingatan saya buat mereka yang terkesan.
“Terima kasih juga kepada pasukan penyelamat kerana tindakan pantas dalam mengendalikan kes kecemasan,” ujar beliau.
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya sembilan penumpang kereta api LNER cedera parah ditikam secara rambang berhampiran stesen Huntingdon
- Polis Pengangkutan British berjaya memberkas dua suspek setelah kejadian
- Lebih dari 30 pegawai polis diarah siasat lokasi untuk mencari motif
- Laman sesawang LNER mengesahkan gangguan besar pada perkhidmatan tren susulan kejadian
- Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan susulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

