12 tahun tak laku, rumah paling berhantu di Britain akhirnya terjual

LONDON – Kediaman yang digelar ‘rumah paling berhantu di Britain’ akhirnya menemui pemilik baharu selepas ia gagal dijual selama 12 tahun, lapor Manchester Evening News pada Jumaat lalu.
Pasangan asal Australia, Amy Waine, 38 dan Jarrad Cutting, 40, membeli rumah di Essex itu yang diberi nama ‘The Cage’ awal tahun ini dengan harga £230,000 (RM678,500).

Pemilik terdahulu, Vanessa Mitchell berusaha untuk menjual rumah itu selama 12 tahun selepas mendakwa kerap melihat hantu dan pernah ditolak sehingga terjatuh ketika hamil.
Rumah dengan dua bilik tidur yang dibina pada abad ke-16 itu mempunyai sejarah yang menyeramkan.
Difahamkan, ia pernah digunakan sebagai penjara bagi wanita yang dituduh mengamalkan ilmu sihir sekitar 1500-an sementara menunggu perbicaraan atau hukuman mati.

Amy dan Jarrad yang merupakan penyiasat paranormal dan pakar pengusir hantu mendakwa, berlaku kejadian pelik sejak kerja-kerja pengubahsuaian rumah tersebut bermula.
Pasangan itu berkata, mereka kerap mendengar bunyi aneh, malah lampu bilik tidur menyala sendiri pada jam 3 pagi (waktu tempatan) sebaik berpindah ke rumah berkenaan.

“Kami sebenarnya tidak pernah mencari atau berniat untuk memiliki rumah berhantu.
“Namun, ketika berbual dengan rakan tentang ‘The Cage’, kami diberitahu rumah itu sebenarnya sedang mencari pemilik baharu.
“Kami menyukai rumah ini dan kisah-kisah mengenainya. Beberapa bulan kemudian, kami pun beli,” kata Amy.
Ringkasan AI
- Kediaman berhantu di Britain, 'The Cage', telah menemui pemilik baharu setelah 12 tahun gagal dijual
- Pasangan Australia, Amy Waine dan Jarrad Cutting, membeli 'The Cage' dengan harga £230,000
- Pemilik sebelumnya, Vanessa Mitchell, berusaha menjual rumah ini kerana sering melihat hantu
- 'The Cage' adalah rumah dua bilik tidur yang dibina pada abad ke-16 dan digunakan sebagai penjara bagi wanita dituduh sihir
- Amy dan Jarrad, penyiasat paranormal, mendengar bunyi aneh dan lampu menyala sendiri sejak pengubahsuaian rumah bermula
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

