Sultan Nazrin rasmi SMC Ipoh, hab kecemerlangan perubatan

IPOH - Pelancaran Pusat Perubatan Sunway (SMC) Ipoh oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur kesihatan di negeri ini.
Ia sekali gus merealisasikan aspirasi menjadikan Ipoh sebagai hab pelancongan perubatan dan bandar kesihatan menjelang 2025.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembukaan SMC Ipoh menjadi mercu tanda baharu kepada kemajuan sektor kesihatan di Perak sekali gus melengkapkan aspirasi menjadikan Ipoh sebagai bandar kesihatan bersepadu di wilayah utara tanah air.
Menurutnya, kemudahan bertaraf dunia yang dibangunkan oleh Kumpulan Sunway itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Perak sebagai destinasi utama pelaburan dan pe lancongan kesihatan.
“SMC Ipoh bukan sahaja memperluas capaian rawatan moden kepada rakyat, tetapi turut menandakan kemajuan besar dalam kemampuan negeri menerima dan memanfaatkan teknologi perubatan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian SMC Ipoh di sini pada Rabu.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Presiden Sunway Healthcare Group (Sunway Healthcare), Datuk Lau Beng Long.
Saarani berkata, Perak sejak sekian lama mempunyai sejarah kukuh dalam bidang perubatan bermula dengan pembinaan Hospital Taiping pada 1880 dan Hospital Ipoh pada penghujung abad ke-19, yang menzahirkan komitmen negeri memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Katanya, pembukaan SMC Ipoh memperlihatkan sambungan legasi tersebut dan seiring dengan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan kesejahteraan rakyat sebagai ukuran sebenar kemajuan.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan sektor swasta seperti Kumpulan Sunway akan mempercepatkan pencapaian mat lamat memperkukuh sistem kesihatan dan membawa perkhidmatan perubatan bertaraf antarabangsa lebih hampir kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertumbuhan pesat sektor kesihatan turut membuka peluang baharu kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kejururawatan, teknologi makmal, radiografi dan farmasi.
“Dengan wujudnya hospital-hospital moden seperti SMC Ipoh, graduan tempatan dapat menimba ilmu serta pengalaman klinikal di negeri sendiri seterusnya menyumbang bakti kepada pembangunan kesihatan negeri.
“Kemajuan sebenar bukan diukur pada bangunan yang terbina atau angka pelaburan yang terhasil, tetapi pada keupayaan kita membina masyarakat yang sihat, berdaya tahan dan sejahtera,” katanya.
Beliau berharap kewujudan SMC Ipoh akan terus menyerlahkan nama Ipoh sebagai bandar kesihatan unggul negara seterusnya menjadikan Perak terus makmur dan sejahtera.
Rawatan bertaraf dunia

Sementara itu, Beng Long berkata, hospital baharu itu merupakan hospital kelima kumpulan berkenaan dengan pelaburan melebihi RM430 juta bagi menyediakan rawatan bertaraf dunia kepada rakyat.
“Sebagai sebahagian daripada visi kami untuk memperluaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti di Malaysia dan rantau ini, hospital di Perak ini direka untuk memberi rawatan bertaraf dunia kepada penduduk Ipoh, wilayah utara dan kawasan sekitarnya.
“Dengan kapasiti semasa sebanyak 259 katil serta ruang untuk pengembangan masa depan, SMC Ipoh akan menjadi hab penjagaan kesihatan menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Beng Long berkata, SMC Ipoh turut mencipta sejarah apabila memperkenalkan pengimbas PET-CT pertama di Perak serta sistem Surgical Robotic Arm Surgery iaitu teknologi terkini bagi diagnostik kanser dan pembedahan penggantian lutut serta pinggul secara robotik.
Katanya, dengan kemudahan berteknologi tinggi termasuk Pusat Kanser dan Pusat Perubatan Nuklear itu, hospital berkenaan bakal menjadi hab kecemerlangan perubatan dan penjagaan kesihatan di utara Semenanjung.
“Komitmen kami bukan sekadar menyediakan rawatan moden, tetapi juga membina persekitaran holistik di mana kecemerlangan klinikal disertai dengan nilai kasih sayang, keselamatan dan inovasi.
“Misi kami di Sunway Healthcare ialah untuk membentuk dan menyumbang kepada masyarakat sihat, agar lebih ramai dapat menjalani kehidupan yang sihat, produktif dan bermakna,” katanya.
SMC Ipoh kini beroperasi dengan kapasiti 259 katil dengan rancangan pengembangan pada masa hadapan untuk memenuhi permintaan meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan.
Jelas Beng Long, kedudukan strategik hospital dalam Sunway City Ipoh seluas 1,350 ekar (kira-kira 540 hektar) dan berlatar belakangkan kehijauan tropika serta bukit batu kapur berusia 260 juta tahun menjadikannya lokasi ideal bagi pembangunan bandar kesihatan.
Selain hospital, Sunway City Ipoh turut menempatkan taman tema Lost World of Tambun, Banjaran Hotsprings Retreat bertaraf lima bintang serta Sunway College Ipoh, manakala Sunway Ipoh Mall yang akan menjadi pusat beli-belah terbesar di Perak kini dalam pembinaan dan dijangka dibuka pada tahun 2027.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

