Kenaikan cukai taksiran: Bantahan dibuka sehingga 5 November ini

Siaran media yang dikeluarkan oleh MBAS bagi menjawab kebimbangan semua pemilik pegangan di dalam kawasan pentadbirannya pada Jumaat.
Siaran media yang dikeluarkan oleh MBAS bagi menjawab kebimbangan semua pemilik pegangan di dalam kawasan pentadbirannya pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) membuka ruang kepada semua pemilik pegangan dalam kawasan pentadbirannya untuk mengemukakan bantahan terhadap penilaian semula cukai taksiran yang dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Penilaian semula ini menggantikan senarai nilaian cukai taksiran tahun 1993 yang telah digunakan selama lebih tiga dekad.

Menurut MBAS, sebanyak 95,170 pegangan di bawah pentadbirannya telah menerima notis penilaian baharu yang mula diedarkan melalui pos sejak 9 Oktober lalu.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, semakan semula ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 137 dan Seksyen 41 Akta Kerajaan Tempatan 1976, serta bertujuan menyelaraskan kadar cukai dengan nilai semasa hartanah.

“Selama 32 tahun, pemilik pegangan menikmati kadar cukai taksiran lama yang tidak lagi mencerminkan nilai pasaran semasa. MBAS amat terbuka dan mengalu-alukan sebarang bantahan daripada pemilik pegangan yang ingin membuat semakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Abdul Gafar, pemilik hartanah yang ingin mengemukakan bantahan boleh berbuat demikian sebelum 5 November ini dengan mengimbas kod QR yang tertera pada notis taksiran masing-masing.

Menurutnya, MBAS turut menyediakan Bilik Gerakan Penilaian Semula Cukai Taksiran di UTC Kedah bagi memudahkan urusan semakan dan pertanyaan lanjut.

“Semua pemilik pegangan digalakkan berhubung terus dengan pihak majlis bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan mengemukakan bantahan melalui saluran rasmi yang disediakan,” ujarnya.

Bilik Gerakan Penilaian Semula Cukai Taksiran MBAS dibuka di Tingkat 3, Bangunan UTC Kedah, Jalan Kolam Air, Alor Setar. Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui talian 04-7340232.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media melaporkan keputusan MBAS itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemilik premis dan pengusaha tempatan apabila kadar kenaikan dilaporkan mencecah antara 139 hingga melebihi 200 peratus dalam sesetengah kes.

Ringkasan AI

  • MBAS membuka ruang bantahan terhadap cukai taksiran baru yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026
  • Penilaian semula menggantikan senarai nilaian tahun 1993
  • Sebanyak 95,170 pegangan menerima notis penilaian baru
  • Bantahan boleh dikemukakan sebelum 5 November dengan mengimbas kod QR pada notis
  • Bilik Gerakan Penilaian Semula Cukai Taksiran dibuka di UTC Kedah untuk urusan semakan dan pertanyaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!