[VIDEO] 'Jangan baca sekerat' - Tengku Zafrul bidas dakwaan Azmin ART gadai kedaulatan ekonomi negara
SHAH ALAM-Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membidas dakwaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) mengadai kedaulatan negara.
Beliau menjelaskan klausa yang dipetik ialah klausa 5.1 dan cuma memetik ayat pertama serta sebahagian ayat kedua.

Sehubungan itu Tengku Zafrul mengingatkan Mohamed Azmin supaya meneliti perjanjian secara menyeluruh.
"Kalau baca perjanjian, kita kena baca penuh, jangan baca sekerat. Klausa yang dipetik ialah Klausa 5.1. Apa kandungan klausa 5.1? dan dia cuma petik ayat pertama dan sebahagian ayat kedua.
"Kononnya kalau Amerika Syarikat (AS) kenakan sekatan kepada mana-mana negara, Malaysia ini automatik kena ikut. Jom, kita baca sama-sama Klausa ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau menjelaskan kandungan klausa tersebut menyebut:
"Selepas menerima notifikasi sedemikian daripada Amerika Syarikat, Malaysia hendaklah mengguna pakai atau mengekalkan satu langkah yang mempunyai kesan sekatan yang setara dengan langkah yang diambil oleh Amerika Syarikat atau bersetuju dengan satu garis masa pelaksanaan yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak bagi menangani kebimbangan bersama berkaitan ekonomi atau keselamatan negara".
"Saya ulang frasa terakhir untuk menangani masalah ekonomi berkongsi atau keselamatan negara. Apa maksudnya? Maksudnya, sekatan ini perlu untuk menangani isu keselamatan negara dan ekonomi bersama.
"Kata kunci di sini, bersama. Maksudnya, kalau isu tersebut hanya memberi kesan kepada keselamatan negara dan ekonomi AS tetapi tidak memberi impak kepada keselamatan negara dan ekonomi Malaysia, kita tidak perlu pertimbangkan," katanya.
Terdahulu, Mohamed Azmin dilaporkan berkata ART yang ditandatangani Malaysia dilihat bukanlah satu bentuk timbal balik seperti yang digambarkan, sebaliknya merupakan satu bentuk penyerahan terhadap AS.
Katanya, Malaysia memberikan terlalu banyak kawalan terhadap ekonominya manakala AS kekal bebas menentukan dasar yang menguntungkan industri mereka sendiri.
Ringkasan AI
- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri membidas dakwaan Setiausaha Agung PN, Mohamed Azmin Ali tentang ART menggadaikan kedaulatan negara
- Tengku Zafrul menegaskan pentingnya membaca dan memahami perjanjian secara menyeluruh
- Beliau membetulkan interpretasi klausa 5.1 yang sebelumnya dipetik sebahagian oleh Mohamed Azmin
- Klausa tersebut memerlukan Malaysia mengambil langkah yang setara dengan AS hanya jika keselamatan atau ekonomi kedua-dua negara terjejas bersama
- Mohamed Azmin sebelumnya mendakwa ART memberi terlalu banyak kawalan kepada AS atas ekonomi Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
