'Ayah bersiap ke Raudhah sebelum meninggal dunia di Madinah’

MADINAH – [DIKEMAS KINI] “Dalam tidak berapa sihat, ayah tetap bangun dan mandi untuk bersiap ke Raudhah. Tempat yang amat dia impikan untuk pergi.”
Demikian luahan Sub Editor Sinar Harian, Nurkhairini Jumari apabila kehilangan bapa tersayang, Jumari Bahrap, 69, yang menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas di Madinah pada Khamis.
Nurkhairini bersama ayahnya, berangkat menunaikan umrah pada 23 Oktober lalu dan dijangka pulang ke Malaysia pada 3 November.
Menurut Nurkhairini, bapanya mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat sebaik tiba di Madinah apabila mengalami batuk dan selesema ringan.
Walaupun kurang sihat katanya, arwah sempat menyertai rombongan menziarahi makam Rasulullah SAW dibimbing mutawif memandangkan hotel penginapan mereka terletak berhampiran Masjid Nabawi.
“Sepanjang hampir seminggu di Makkah, ayah begitu sihat dan bersemangat melaksanakan umrah.
“Ayah juga luah rasa tenang dan puas dapat beribadah, dia juga sempat solat sunat taubat di Masjidil Haram.

Namun, semasa hari pertama di Madinah, ayah mula demam, batuk dan selesama sebelum mengalami sesak nafas dan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Allahyarham Jumari yang berasal dari Pagoh, Muar, Johor disahkan meninggal dunia sekitar jam 7.38 malam waktu Madinah (1.30 pagi waktu Malaysia).
Nurkhairini berkata, meskipun sedih namun dia reda bapanya dijemput Ilahi di Madinah.
“Kematiannya amat mudah, asbab demam, batuk dan sesak nafas.
“Ramai jemaah di sini ucap takziah dan bertanya mengenai amalan arwah ayah sehingga dipilih dijemput ALLAH meninggal di Madinah
"ALLAH permudahkan perjalanan terakhir ayah. Terima kasih kepada pihak kerajaan Arab Saudi, Andalusia Travel & Tour, jemaah umrah dan lain-lain yang membantu saya di saat sukar ini ” katanya sebak.
Jenazah Allahyarham Jumari disolatkan selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi dan dikebumikan di tanah perkuburan Al-Baqi, Madinah al-Munawwarah.
Ringkasan AI
- Ayah Nurkhairini meninggal dunia akibat sesak nafas di Madinah ketika menunaikan ibadah umrah
- Mereka berangkat menunaikan umrah pada 23 Oktober dan dijangka pulang ke Malaysia pada 3 November
- Ayahnya menunjukkan tanda-tanda tidak sihat seperti demam, batuk dan selesema sebaik tiba di Madinah
- Arwah sempat menyertai rombongan menziarahi makam Rasulullah SAW walaupun kurang sihat
- Nurkhairini reda bapanya dipanggil di tempat suci dan menjelaskan kematiannya adalah mudah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
