Mohd Yazid mengadu tidak sedap badan sebelum meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya Mohd Yazid Zakaria mengadu tidak sedap badan sebelum meninggal dunia di Hospital Tunku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, kira-kira 11 pagi tadi.
Ahmad Ariff Azhari Mohd Yazid, 23, anak keempat Allahyarham berkata sebelum itu, bapanya telah dibawa ke sebuah klinik di Paroi Jaya untuk mendapatkan rawatan.
"Setelah sampai di klinik, semasa menunggu (untuk rawatan) ayah ingin ke tandas dan mengalami kekejangan otot dan terus tidak sedarkan diri.
"Pihak klinik telah melakukan CPR (bantuan pernafasan) dan kakak saya terus menghubungi ambulans dan ketika tiba di hospital, doktor mengesahkan ayah telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata punca kematian hanya dapat diketahui selepas proses bedah siasat dilakukan dan jenazah akan dikebumikan di Seremban selepas urusan selesai.
Mohd Yazid, 57, meninggalkan seorang isteri dan lima anak dengan anak sulung perempuannya bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini.
Allahyarham pernah dinobatkan Tokoh Pekerja Negara (Perkhidmatan Awam) sempena sambutan Hari Pekerja 2024.
Semasa penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Allahyarham Mohd Yazid bertanggungjawab mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala ASEAN. - Bernama
Ringkasan AI
- Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, Mohd Yazid Zakaria, meninggal dunia di Hospital Tunku Jaafar, Seremban
- Sebelum meninggal, Mohd Yazid telah dibawa ke klinik di Paroi Jaya kerana tidak sedap badan
- Di klinik, Mohd Yazid mengalami kekejangan otot dan terus tidak sedarkan diri
- Punca kematian Mohd Yazid akan diketahui setelah proses bedah siasat dilakukan
- Mohd Yazid meninggalkan seorang isteri dan lima anak, dengan anak sulungnya bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 Nov
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
