'Hanya lampu biasa, bukan tanda salib'

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Lampu yang dipasang pada tempat meletak kenderaan di bangunan Grace Residences, Jelutong tidak lagi menunjukkan tanda salib.

Perkara itu disahkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, gambar bangunan tersebut yang diterimanya malam kelmarin menunjukkan tanda itu tidak lagi dipaparkan.

Menurutnya, gambar itu menunjukkan hanya lampu biasa dipasang dan tiada tanda salib kelihatan seperti yang didakwa sebelum ini.

"Gambar yang dihantar kepada saya semalam menunjukkan hanya lampu biasa dipasang pada bangunan itu dan ia tidak menunjukkan tanda salib. Bagaimanapun, saya masih menunggu laporan dari pemaju berhubung perkara ini.

"Saya juga sedang menunggu maklumat penuh dari Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus," katanya kepada media tadi.

Sementara itu, menurut laporan The Malaysian Insight yang memetik jurucakap pemaju berkata, pihaknya tidak berniat untuk memaparkan tanda salib pada bangunan tersebut.

Menurut jurucakap itu lagi, lampu berkenaan menunjukkan abjad bahasa Cina bermaksud wang (raja) atau ong (nasib baik).

"Lampu pada bangunan itu hanya 90 peratus siap dan ia dalam tempoh ujian. Mungkin ketika gambar bangunan itu diambil, lampu yang dipasang menunjukkan tanda salib.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi pemaju tidak bermaksud untuk memasang lampu berbentuk salib seperti yang didakwa. Kita memasang lampu di tingkat atas dan tingkat tempat meletak kenderaan juga. Namun, gambar yang diambil tidak menunjukkan dua di bahagian atas dan deretan bawah di mana lampu dipasang," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai sebuah kediaman kategori pangsapuri di Jelutong yang memaparkan lambang salib dengan menggunakan lampu.

Ia jelas kelihatan terutamanya pada waktu malam selepas kesemua lampu itu dipasang.

Perkara itu menyebabkan beberapa masyarakat setempat serta penduduk berdekatan tidak berpuas hati dan difahamkan, mereka telah membuat laporan polis berhubung lambang tersebut.

Sehubungan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta agar isu paparan lambang salib di bangunan tersebut ditangani dengan bijaksana dan mengikut saluran undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, perkara itu perlu ditangani dengan cermat dan diselidik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau tindakan.

Tambahnya, pihak berkuasa perlu menyiasat sama ada perkara itu dibuat dengan sengaja atau secara kebetulan sahaja.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanda salib, ini pesan Mufti Pulau Pinang...]