Polis pantau 24 jam, lebih 6,000 kandungan penipuan diturunkan

Rusdi
Rusdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 6,000 kandungan penipuan dalam talian diturunkan dari platform media sosial sejak 2023 hingga September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia adalah hasil pemantauan oleh Unit Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC) di bawah Bahagian Siber, Taktikal dan Teknikal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

"PCIRC memantau kandungan dan iklan penipuan 24 jam setiap hari. Sejak 2023, sebanyak 6,184 kandungan dikenal pasti dan telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hasil permohonan yang dibuat oleh PCIRC," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Khamis.

Rusdi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,073 kandungan membabitkan penipuan pelaburan diikuti penipuan pinjaman (4,557) dan urusan jual beli serta penyewaan kad mesin juruwang automatik (ATM) sebanyak 554.

“Bagi tahun ini sahaja, sebanyak 3,179 kandungan telah diturunkan sejak Januari sehingga September,” ujarnya.

Rusdi berkata, Unit PCIRC bertanggungjawab memantau, menganalisis, membuat profil, menyediakan laporan polis serta menjalankan siasatan terhadap kes berkaitan media sosial yang melibatkan unsur penipuan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan yang semakin berleluasa di media sosial.

“Jangan mudah terpedaya. Semak dahulu dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang pelaburan,” katanya.

Mengenai penipuan pinjaman tidak wujud, beliau berkata, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan sebelum ‘pinjaman’ diluluskan.

Artikel Berkaitan:

“Selepas bayaran dibuat, sindiket akan menghilangkan diri,” jelasnya.

Dalam masa sama, Rusdi turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak meminjam atau menyewakan kad ATM kepada pihak ketiga.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 424 dan 137 Kanun Keseksaan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat,” tegasnya.

Ringkasan AI

  • Lebih 6,000 kandungan penipuan dalam talian diturunkan dari platform media sosial sejak 2023 hingga September lalu
  • Unit Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC) bertanggungjawab memantau dan mengurangkan kandungan penipuan dalam talian
  • Sebanyak 6,184 kandungan penipuan telah dikenal pasti dan diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
  • Kandungan penipuan yang paling banyak melibatkan penipuan pelaburan, pinjaman serta urusan jual beli dan penyewaan kad ATM
  • Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap taktik penipuan di media sosial dan semak dengan pihak berkuasa sebelum membuat pelaburan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!