Didakwa 'curi' pekerja, lelaki dimaki dan dipukul Datuk Seri

Mohamad Fazil (bertopi) ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa bagi perbicaraan mencederakan seorang pengurus syarikat insurans tahun lalu.
Mohamad Fazil (bertopi) ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa bagi perbicaraan mencederakan seorang pengurus syarikat insurans tahun lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang pengurus syarikat insurans mendedahkan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bahawa beliau dimaki dan ditampar oleh seorang lelaki bergelar Datuk Seri selepas dituduh cuba 'mencuri' pekerja individu kenamaan itu, tahun lalu.

Muhammad Nur Hakim Baharudin, 31, yang tampil sebagai saksi pendakwaan berkata, kejadian berlaku ketika beliau menemu duga seorang wanita yang berminat menyertai bidang takaful di sebuah kafe di Taman Kota Laksamana di sini pada 14 November 2024.

Katanya, secara tiba-tiba tertuduh, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie, 63, Pengarah Urusan Fazil Group, datang bersama empat individu lain termasuk anak perempuannya, Nur Amalina, 34, sebelum memaki hamun dan menampar kepalanya menggunakan tangan serta topi.

"Beliau marah saya, kata saya cuba ambil pekerjanya. Tertuduh cakap dia boleh beli kereta Mercedes-Benz saya setiap hari dan ugut saya dengan kata-kata ‘komando punya kerja macam mana’,” katanya ketika memberi keterangan pada perbicaraan pertama di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Muhammad Nur Hakim berkata, wanita yang ditemu duga itu merupakan kakitangan Fazil Group yang ketika itu menjalankan perniagaan insurans konvensional, namun berminat untuk beralih ke sektor takaful.

Dalam sesi soal balas, peguam Bala Subramaniam yang mewakili kesemua tertuduh menyoal sama ada saksi pernah berkhidmat di syarikat Fazil Group.

Menjawab soalan itu, beliau mengakui pernah bekerja di situ namun menegaskan ilmu serta kemahirannya dalam bidang insurans diperoleh daripada rakan sekerja dan bukan secara langsung daripada tertuduh.

Selain Mohamad Fazil dan Nur Amalina, suaminya, Amran Azmi, 33, serta dua lagi individu turut didakwa iaitu Muhammad Azrul Syafiq Rosman, 29, dan Azian Ab Rahim, 38.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di kafe berkenaan sekitar jam 8.30 malam.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Fazil dan Azian turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah, manakala Nur Amalina pula didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 21 dan 22 Januari tahun hadapan.

Ringkasan AI

  • Pengurus syarikat insurans dicederakan oleh Datuk Seri dan empat individu lain termasuk anak individu kenamaan itu di sebuah kafe
  • Kejadian bermula ketika pengurus itu menemu duga wanita berminat sertai takaful, kakitangan Fazil Group
  • Datuk Seri marah dan menuduh pengurus cuba 'mencuri' pekerjanya, kemudian menampar dan mengugut
  • Pengurus itu pernah bekerja di Fazil Group tetapi menegaskan kemahiran insurans diperoleh dari rakan sekerja
  • Lima individu termasuk Datuk Seri didakwa menyebabkan kecederaan dan menakutkan secara jenayah, tarikh perbicaraan ditetapkan pada Januari tahun hadapan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!