[VIDEO] Hassan Karim cadang kerajaan perkenal cukai kekayaan
KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya memperkenalkan cukai kekayaan terhadap rakyat negara ini yang berstatus jutawan sebagai langkah menambah hasil negara.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (PH) berkata, takrifan golongan jutawan atau skala yang layak dikenakan cukai kekayaan ialah individu yang mempunyai nilai harta sekurang-kurangnya AS$1 juta (kira-kira RM4.2 juta).
“Baru-baru ini saya terbaca Perdana Menteri menyatakan bahawa adalah tidak bermoral jika kerajaan mengenakan cukai kepada rakyat miskin. Maka dalam semangat yang sama, sudah tiba masanya kerajaan mengenakan cukai kekayaan kepada golongan kaya.
“Data tahun 2022 menunjukkan terdapat 85,126 jutawan di Malaysia dan jumlah ini terus meningkat. Dijangkakan pada tahun 2027, bilangan jutawan bakal mencecah 164,839 orang.
“Jadi, sudah sampai masanya golongan ini dikenakan cukai kekayaan atau capital tax bagi menambahkan hasil negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.

Pada masa sama, Hassan turut mempersoalkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat yang dimeterai pada Ahad lalu kerana didakwa mendatangkan banyak kemudaratan kepada negara.
Beliau turut menyelar pihak yang terlibat dalam rundingan perjanjian itu yang didakwa menggadaikan maruah negara hanya untuk menurunkan kadar tarif 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia kepada 19 peratus.
“Saya amat dukacita. Malaysia sebuah negara berdaulat bukan sahaja secara politik tetapi juga dari segi ekonominya. Bagaimana dalam masa tidak sampai dua hari, Presiden AS, Donald Trump datang ke sini dan kita telah menandatangani perjanjian yang melibatkan begitu banyak konsesi.
“Malaysia terpaksa menyerahkan kepada AS sebanyak RM1 trilion dalam tempoh beberapa tahun. Ini satu penyerahan, satu pemunggahan harta negara ke Amerika Syarikat. Ini tidak boleh diterima. Saya mengkritik perjanjian ini.
“Saya tidak tahu apa akan jadi kepada saya selepas ini, tetapi saya tidak bersetuju,” katanya tegas.
Ringkasan AI
- Kerajaan dicadangkan memperkenalkan cukai kekayaan kepada jutawan untuk meningkatkan hasil negara
- Golongan jutawan didefinisikan sebagai individu dengan harta sekurang-kurangnya AS$1 juta
- Data menunjukkan ada 85,126 jutawan di Malaysia pada 2022 dan dijangka naik menjadi 164,839 pada 2027
- Ahli Parlimen Pasir Gudang membantah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat kerana mendatangkan kemudaratan
- Kritikan dinyatakan terhadap penandatanganan perjanjian yang menggadaikan maruah negara dan pemunggahan harta ke Amerika Syarikat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


