Lelaki cuba seludup 30kg akar ginseng dari China ditahan di KLIA

SEPANG – Cubaan seorang lelaki warga tempatan untuk membawa masuk 30 kilogram akar ginseng tanpa permit import yang sah dari China gagal apabila ditahan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Sabtu lalu.
AKPS KLIA dalam satu kenyataan memaklumkan, akar ginseng tersebut dikesan semasa pemeriksaan bagasi melalui mesin pengimbas.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemui akar ginseng seberat kira-kira 30 kilogram dengan nilai anggaran RM7,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, siasatan mendapati lelaki berusia 42 tahun yang tiba dari China itu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah seperti Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Sijil Fitosanitasi dan Sijil 3P daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Kes disiasat di bawah Seksyen 11 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana membawa masuk komoditi pertanian tanpa permit import yang sah.
"Komoditi berkenaan telah disita untuk tindakan lanjut," katanya.
Ringkasan AI
- SEPANG – Cubaan seorang lelaki warga tempatan membawa masuk 30 kilogram akar ginseng tanpa permit import sah dari China gagal
- Akar ginseng tersebut dikesan semasa pemeriksaan bagasi di KLIA
- Berat akar ginseng kira-kira 30 kilogram dengan nilai anggaran RM7,000
- Lelaki berusia 42 tahun gagal mengemukakan dokumen sah seperti Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia
- Kes disiasat di bawah Seksyen 11 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana tanpa permit import sah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
