KPWKM fokus perkasa ekosistem industri penjagaan - Nancy

NANCY
NANCY
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini dalam proses membangunkan ekosistem industri penjagaan yang kukuh melalui pembangunan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026–2030.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha itu selari dengan keperluan dan permintaan perkhidmatan penjagaan yang dijangka akan terus meningkat.

“Pembangunan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan ini juga adalah selari dengan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) yang disediakan oleh kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi, yang antara lain turut menyentuh berkaitan Penjagaan Jangka Panjang yang akan diterajui dan dikawal selia oleh KPWKM.

“Kerangka strategik ini merupakan dokumen yang dibangunkan melalui pendekatan ‘whole of nation’, melibatkan kerjasama pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi, pemain industri dan juga pakar-pakar dalam bidang penjagaan.

“Insya-ALLAH, kita merancang untuk melancarkan kerangka strategik ini semasa penganjuran The New Frontiers in The Care Economy Conference peringkat ASEAN oleh KPWKM pada 4 dan 5 November 2025, iaitu pada minggu hadapan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohamad Shafizan Kepli (GPS–Batang Lupar) mengenai perincian hala tuju dan usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi penjagaan yang inklusif di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, bagi memastikan kelestarian ekonomi penjagaan di negara ini berjalan dengan baik, lima strategi utama diketengahkan dalam kerangka tersebut.

Lima strategi itu ialah pengukuhan perundangan dan tadbir urus, pembangunan kompetensi dan laluan kerjaya, advokasi, pemerkasaan kolaborasi serta penyelidikan, teknologi dan data.

“Selain itu, industri penjagaan juga turut mendapat perhatian khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), seperti terkandung dalam Bab 5, Strategi D2 iaitu ‘Persediaan Menuju Negara Tua’.

Artikel Berkaitan:

“Salah satu inisiatif di bawah RMK13 yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini ialah meningkatkan tahap kompetensi para penjaga,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membangunkan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026–2030
  • Usaha ini selaras dengan meningkatnya keperluan perkhidmatan penjagaan
  • Pembangunan ini juga selaras dengan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan dan melibatkan kerjasama pelbagai pihak
  • Kerangka strategik akan dilancarkan semasa The New Frontiers in The Care Economy Conference peringkat ASEAN oleh KPWKM
  • Lima strategi utama dalam kerangka tersebut termasuk pengukuhan perundangan, pembangunan kompetensi, advokasi, kolaborasi, dan penyelidikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!