Sindiket ganja guna parkir kondominium sebagai markas edaran

Hasil pemeriksaan kereta Proton Exora yang dinaiki suspek menemui bunga ganja seberat 18.5 kilogram dengan nilai keseluruhan rampasan RM553,500.
Hasil pemeriksaan kereta Proton Exora yang dinaiki suspek menemui bunga ganja seberat 18.5 kilogram dengan nilai keseluruhan rampasan RM553,500.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja yang menjadikan kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Klang Lama sebagai lokasi transaksi terbongkar selepas dua individu ditahan dalam serbuan pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pada jam 3.20 petang itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hasil risikan terhadap aktiviti pengedaran dadah.

“Kita menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan masing-masing berusia 47 dan 56 tahun di kawasan parkir kondominium terbabit.

“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton Exora yang dinaiki suspek menemui bahan disyaki bunga ganja seberat 18.5 kilogram, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM553,500,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Fadil berkata, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu menjejaskan seramai 37,000 individu sekiranya terlepas ke pasaran.

“Siasatan mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak Ogos lalu dan menjalankan kegiatan pengedaran di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif, namun semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM250 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Suspek direman selama enam hari bermula Ahad hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadil berkata, kejayaan itu merupakan hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah di ibu negara.

“Masyarakat boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti sedemikian melalui Hotline JSJN Kuala Lumpur di talian 012-208 7222,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sindiket pengedaran dadah menggunakan kawasan parkir kondominium di Jalan Klang Lama untuk transaksi
  • Dua individu, seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 47 dan 56 tahun, ditahan dengan bahan disyaki ganja seberat 18.5 kilogram
  • Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM553,500
  • Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu menjejaskan seramai 37,000 individu
  • Sindiket ini dipercayai aktif sejak Ogos lalu dan menjalankan kegiatan pengedaran di sekitar Lembah Klang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!