Dua sindiket edar dadah guna kurier, laluan air tumpas

Antara dadah yang dirampas daripada dua sindiket pengedaran dadah yang dikesan menggunakan perkhidmatan kurier serta laluan air tidak sah. - JKDM Johor
Antara dadah yang dirampas daripada dua sindiket pengedaran dadah yang dikesan menggunakan perkhidmatan kurier serta laluan air tidak sah. - JKDM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang dikesan menggunakan perkhidmatan kurier serta laluan air tidak sah dalam dua serbuan berasingan baru-baru ini.

Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, serbuan pertama dijalankan di Pekan Nenas pada 21 Mei lalu melibatkan pemeriksaan ke atas dua bungkusan pos laju.

“Hasil pemeriksaan menemui ketulan tumbuhan mampat disyaki ganja seberat 130 gram dan 97 gram sebelum disita.

“Susulan itu, seorang lelaki dipercayai penghantar ditahan. Pemeriksaan lanjut turut menemui beg hitam mengandungi ganja seberat 55 gram, tiga botol alat penghisap ganja serta satu alat pengisar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 762 gram ganja dianggarkan bernilai RM22,860, selain sebuah motosikal bernilai RM10,000 turut disita.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menggunakan khidmat kurier bagi mengaburi pihak berkuasa.

Dalam serbuan kedua pada 5 Jun lalu, Aminul Izmeer berkata, sepasukan pegawai JKDM menyerbu sebuah bot tidak berdaftar yang berada di kawasan hutan paya bakau berhampiran Terminal Feri Batu Pahat.

“Pemeriksaan ke atas bot terbabit menemui tiga bungkusan mampat dadah disorok dalam beg berisi teh cina.

“Berat keseluruhan dadah itu dianggarkan 3.063 kilogram dengan nilai pasaran RM98,016. Sebuah bot bernilai RM4,000 turut disita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai menggunakan laluan air tidak sah bagi membawa masuk dadah dari luar negara.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!