Sorok bunga ganja RM254,000 dekat pokok salak

PASIR MAS – Taktik licik penyeludup menyorok 7.05 kilogram (kg) bunga ganja dalam guni bernilai RM254,000 berhampiran sebatang pokok salak terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di hadapan sebuah rumah di Kampung Tok Pelanduk, di sini pada Khamis.
Pemangku Komander Briged Tenggara, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan menerusi Op Taring Wawasan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati rumah berkenaan kosong dan tidak berpenghuni ketika serbuan dilakukan.
“Pemeriksaan lanjut di luar rumah menemui satu guni yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis bunga ganja seberat 7.05kg,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Ujar beliau, pihaknya menunggu selama lima jam di lokasi tersebut namun tiada individu yang tampil menuntut barangan itu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, cubaan seorang lelaki mengaut keuntungan dengan membawa masuk beras seludup tidak kesampaian apabila kenderaan dipandunya ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Bravo 4 di Kampung Seberang Baroh, Tumpat pada Khamis.

Ijid berkata, penahanan dibuat pada jam 5.30 petang selepas anggotanya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan menemui 621kg beras putih dan 50kg beras pulut pelbagai jenama disyaki diseludup dari negara jiran,” katanya.
Menurut beliau, pemandu berusia 35 tahun itu dipercayai bertindak sebagai penghantar untuk pasaran tempatan.
Ujarnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM7,854.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994," katanya.
Ringkasan AI
- Penyeludupan 7.05kg bunga ganja bernilai RM254,000 berhampiran pokok salak terbongkar di Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas
- Serbuan dilancarkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) berdasarkan maklumat risikan
- Rumah target kosong dan tidak berpenghuni semasa serbuan
- Ganja ditemukan dalam guni di luar rumah tanpa tuntutan selama lima jam
- Cubaan penyeludupan 671kg beras dari negara jiran gagal, pemandu ditahan di Kampung Seberang Baroh, Tumpat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

