Empat ditahan bantu siasatan kes jumpa mayat dalam beg

Laporan Sinar Harian pada 10 Oktober lalu mengenai identiti mangsa. Gambar kecil: Azizee
Laporan Sinar Harian pada 10 Oktober lalu mengenai identiti mangsa. Gambar kecil: Azizee
A
A
A

GEORGE TOWN - Empat individu termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki disumbat di dalam sebuah beg di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) pada Rabu di kawasan Butterworth dan Kampar, Perak.

Menurutnya, empat individu itu yang berusia antara 24 hingga 42 tahun akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Permohonan reman ke atas semua tangkapan akan dibuat untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mayat seorang lelaki dengan kesan kelar di bahagian leher dan tangan yang diikat ditemui disumbat di dalam sebuah beg di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.43 petang itu, mayat lelaki tersebut ditemui oleh seorang pekerja pembersihan yang sedang menjalankan tugas rutin di kawasan flat berkenaan.

Difahamkan, kepala mangsa turut diserkup menggunakan plastik.

Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Han, 31 yang bekerja sebagai ejen insurans sebelum ini dilaporkan hilang sejak 8 Oktober lalu selepas dia dikatakan keluar ke Perlis atas urusan kerja dan tidak dapat dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, bapa mangsa yang berusia 69 tahun dan bekerja sebagai peniaga tampil membuat laporan polis sebelum mayat anaknya ditemui beberapa hari kemudian.

Ringkasan AI

  • Empat individu termasuk dua wanita ditahan berhubung penemuan mayat dalam beg di Flat Ampang Jajar
  • Mayat lelaki dengan kesan kelar di leher dan tangan terikat, kepala diserkup plastik
  • Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Han, bekas ejen insurans, dilaporkan hilang sejak 8 Oktober
  • Tangkapan dibuat di Butterworth dan Kampar, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
  • Polis nasihat orang ramai tidak spekulasi untuk elak jejaskan siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!