79 sekolah, asrama di Selangor diperiksa mengejut - Polis

SHAH ALAM – Sebanyak 79 sekolah dan asrama seluruh Selangor menjadi lokasi pemeriksaan mengejut polis sejak tiga hari lalu dalam usaha memperkukuh disiplin serta mencegah salah laku pelajar.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, pemeriksaan itu dilakukan secara rawak di sekolah harian dan berasrama bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat serta bebas daripada gejala tidak sihat.
Beliau berkata, setakat ini tiada isu besar dikesan namun langkah tersebut menunjukkan komitmen polis untuk mencegah sebelum berlaku sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar dan sekolah.
"Menjaga keselamatan sekolah bukan hanya tanggungjawab guru semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
"Kita mahu anak-anak berasa selamat, yakin dan dihormati agar mereka dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran serta membina masa depan yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perhimpunan pagi bersama guru dan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Shah Alam, Bukit Jelutong pada Isnin.
Katanya, usaha itu turut diperkukuh dengan rondaan berkala oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Kenderaan Peronda (MPV) di kawasan sekolah selain sesi libat urus antara Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), pentadbir, guru, ibu bapa serta pelajar.
"Pihak sekolah juga disaran memperketat prosedur keselamatan dalaman manakala ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau tingkah laku dan penggunaan gajet anak masing-masing.
"Pelajar juga digalakkan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk menyalurkan maklumat terus kepada polis sekiranya mengesan sebarang salah laku di sekolah.
Tambah beliau, semua pihak termasuk komuniti setempat perlu kekal proaktif dalam membantu polis memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.
"Pendekatan pencegahan hanya akan berjaya apabila masyarakat turut memainkan peranan aktif," katanya.
Ringkasan AI
- Polis melakukan pemeriksaan mengejut di 79 sekolah dan asrama di Selangor untuk memperkukuh disiplin dan mencegah salah laku pelajar
- Pemeriksaan dilakukan secara rawak untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan bebas dari gejala tidak sihat
- Tiada isu besar dikesan namun langkah ini menunjukkan komitmen polis dalam pencegahan insiden yang boleh menjejaskan keselamatan
- Kelangsungan keselamatan di sekolah merupakan tanggungjawab bersama masyarakat termasuk guru, ibu bapa dan pelajar
- Polis menggalakkan penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol oleh pelajar dan kerjasama dengan komuniti untuk memastikan keselamatan di sekolah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

