Ahli perniagaan bergelar Datuk, tujuh individu direman tiga hari kes gaduh

KUALA TERENGGANU - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama tujuh individu lain direman selama tiga hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang tular di media sosial pada Jumaat.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmod di Mahkamah Majistret di sini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek.
Tujuh suspek dalam kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala mangsa berusia 36 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Mangsa ditahan di lokap Balai Polis Kuala Besut manakala tujuh yang lain ditahan di lokap Balai Polis Kampung Raja, Besut.
Dalam kes tersebut, mangsa diwakili peguam Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar, manakala tujuh suspek diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yassir.
Terdahulu, semua individu berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut) pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa kira-kira jam 1.32 pagi pada Sabtu berhubung insiden pergaduhan yang berlaku jam 11 malam Jumaat di hadapan sebuah rumah di Jerteh.
Katanya, berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dipukul sekumpulan individu ketika sedang bersiaran secara langsung (live) menggunakan telefon bimbit di hadapan rumah suspek.
Jelas beliau, mangsa dikatakan datang ke rumah suspek untuk berbincang mengenai salah faham antara mereka sebelum berlaku pertengkaran apabila mangsa enggan masuk ke kawasan rumah seperti diminta.
Katanya lagi, akibat insiden itu mangsa mengalami kecederaan termasuk lebam di kepala, siku, jari kiri serta bahagian belakang badan akibat bergelut dan terjatuh selain keretanya turut mengalami kerosakan.
Ringkasan AI
- Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama tujuh individu lain direman berhubung kes pergaduhan yang tular di media sosial
- Tujuh suspek siasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, mangsa bawah Seksyen 506 kerana ugutan jenayah
- Mangsa ditahan di lokap Balai Polis Kuala Besut, tujuh lain di lokap Balai Polis Kampung Raja
- Mangsa mendakwa dipukul semasa bersiaran secara langsung menggunakan telefon bimbit di depan rumah suspek di Jerteh
- Mangsa alami kecederaan termasuk lebam dan kerosakan pada kereta akibat pergaduhan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
