Sudah-sudahlah buka aib bekas pasangan bila bercerai

BERCERAI langkah terakhir bagi pasangan yang sudah menemui jalan buntu untuk menyelamatkan rumah tangga.
Buatlah apa pun, apabila hati sudah retak, jiwa sudah tanam rasa benci, segala momen indah yang dahulu dicipta hilang sekelip mata.
Dalam dunia media sosial hari ini, Merak Jalanan cukup takut dengan pasangan yang bercerai.
Apatah lagi, jika yang bercerai itu pasangan selebriti. Sudah tentu kisah mereka jadi tumpuan netizen. Lebih panas apabila terdapat pasangan ‘meroyan’ di media sosial.
Satu demi satu aib bekas pasangan didedahkan tanpa rasa bersalah. Tak cukup menulis, buat pula video.
Merak Jalanan tidak tujukan kepada sesiapa, cuma meluahkan rasa risau jika tindakan sebegitu hanya menampakkan diri sendiri kurang cerdik. Satu jari menuding kepada orang lain, empat lagi jari menuding ke arah diri sendiri.
Sebab itu, kadang-kadang diam itu lebih baik terutama bila sedang marah.
Bak kata seorang kawan, waktu tengah marah semua benda nak diungkit. Masa mula-mula kahwin, bau ketiak pun dikata wangi!
Kalau sudah tiada jodoh, berpisahlah dengan baik. Tak perlu jaja kisah pahit di media sosial untuk membalas dendam atau sekadar mahu meluahkan perasaan.
Kasihan anak-anak yang bakal menanggung malu apabila dewasa kelak, membaca kisah cerai ibu bapa mereka yang penuh drama.
Kasihan juga ibu bapa yang telah membesarkan kita namun dibuka aib oleh bekas menantu sendiri.
Jadikanlah media sosial untuk menyebar kebaikan, berkongsi ilmu, beri inspirasi dan menambah nilai dalam kehidupan orang lain, bukannya tempat menjatuhkan maruah diri sendiri.
Ingatlah, tak semua perkara perlu dijadikan tontonan umum. Ada hal lebih indah jika disimpan kemas dalam hati.
Diam bukanlah tanda kalah tapi tanda kita masih ada harga diri dan waras berfikir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
