Anwar seru kerjasama ASEAN-Jepun lebih erat berteraskan kepercayaan, nilai bersama

Anwar bersama Takaichi ketika Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Ahad. Foto: Bernama
Anwar bersama Takaichi ketika Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Ahad. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menyeru agar kerjasama ASEAN-Jepun diperkukuh dan diperdalam, menekankan bahawa potensi besar perkongsian itu berteraskan kepercayaan, nilai bersama serta persahabatan yang telah terjalin sejak sekian lama.

Dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28, Anwar berkata ASEAN berhasrat untuk terus bekerjasama rapat dengan Jepun bagi memperkukuh visi bersama dalam bidang inovasi, tenaga bersih dan pertumbuhan berdaya tahan.

"Saya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, ke Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun beliau yang pertama. Kami mengucapkan tahniah atas pelantikan anda dan berharap kepimpinan anda akan membawa semangat baharu kepada persahabatan jangka panjang antara kita.

"Dengan semangat ini, saya menantikan pandangan rakan-rakan sejawat yang dihormati ketika kita merangka arah baharu yang lebih segar dan berpandangan ke hadapan bagi memperkukuh kerjasama ASEAN-Jepun,” katanya.

Takaichi yang juga Presiden Parti Demokratik Liberal yang memerintah Jepun, dipilih sebagai Perdana Menteri negara itu pada Selasa lepas (21 Oktober 2025), sekali gus menjadi pemimpin wanita pertama Jepun.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaannya, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berkata Jepun berhasrat untuk memanfaatkan dasar Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) bagi memperkukuh lagi hubungan dengan ASEAN.

Beliau berkata Jepun dan ASEAN telah membina perkongsian berasaskan kepercayaan yang berpaksikan "ikatan hati ke hati” melalui kerjasama jangka panjang merentasi pelbagai sektor.

Perdana Menteri baharu itu turut menegaskan bahawa Jepun mendukung FOIP dan sentiasa menyokong Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) yang berkongsi prinsip dan nilai asas yang sama.

"Adalah amat menggembirakan kerana kita dapat menerima pakai kenyataan bersama dengan para pemimpin ASEAN di sini hari ini (Ahad), yang membentuk sinergi antara FOIP dan AOIP serta mengesahkan hasrat kita untuk menggalakkan kerjasama lebih erat antara Jepun dan ASEAN.

Artikel Berkaitan:

"Tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-10 sejak mendiang Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe melancarkan FOIP pada 2016. Kami akan menggunakan peluang ini untuk menempatkan semula FOIP sebagai tonggak utama diplomasi Jepun dan mengembangkannya selaras dengan perubahan semasa,” katanya. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Anwar menyeru agar kerjasama ASEAN-Jepun diperkukuh dan diperdalam
  • Anwar menyatakan ASEAN berhasrat bekerjasama rapat dengan Jepun dalam bidang inovasi, tenaga bersih dan pertumbuhan berdaya tahan
  • Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, menyambut baik dasar Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka untuk memperkuat hubungan dengan ASEAN
  • Jepun dan ASEAN membina perkongsian berasaskan kepercayaan dan ikatan hati ke hati melalui kerjasama jangka panjang
  • Tahun depan merupakan ulang tahun ke-10 pelancaran FOIP oleh mendiang Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, yang akan dijadikan tonggak utama diplomasi Jepun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!